KUALA LUMPUR: Kertas Putih Penuaan Kebangsaan yang dirancang pada 2027 perlu menterjemahkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 kepada tindakan yang terkoordinasi dan boleh diukur, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, keperluan itu penting susulan perubahan demografi Malaysia yang semakin ketara, dengan peningkatan populasi berusia dijangka memberi kesan terhadap sistem perlindungan sosial, penjagaan kesihatan dan keperluan persaraan negara dalam beberapa dekad akan datang.
“Pelan Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025 hingga 2045 menyediakan hala tuju merangkumi ekonomi, pekerjaan, pendidikan, perlindungan sosial, kesihatan dan penjagaan jangka panjang.
“Kertas Putih Penuaan Kebangsaan yang dirancang pada 2027 mesti menterjemahkan hala tuju itu kepada hasil yang diselaraskan dan boleh diukur,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Kesejahteraan Sosial 2026 (ISWC 2026), di sini, pada Selasa.
Menurut Amir Hamzah, penjagaan jangka panjang akan menjadi antara keperluan yang paling pesat meningkat seiring dengan penuaan penduduk, dengan sebahagian besar tanggungjawab ketika ini dipikul keluarga, khususnya wanita, tanpa pengiktirafan formal atau sokongan yang mencukupi.
“Keluarga akan sentiasa memainkan peranan penting, tetapi mereka tidak boleh memikul tanggungjawab itu sendirian,” jelasnya.
Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan sedang meneruskan usaha berkenaan menerusi kerangka penjagaan nasional ke arah 2030.
Dalam aspek persaraan pula, Amir Hamzah berkata hanya empat daripada 10 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini berada di landasan untuk mencapai penanda aras Simpanan Asas sebanyak RM390,000 pada usia 60 tahun.
“Kerajaan menyasarkan angka itu ditingkatkan kepada enam daripada 10 ahli menjelang 2030. Namun, pengumpulan simpanan hanyalah satu daripada aspek keselamatan persaraan. Meningkatkan paras asas hanyalah separuh daripada usaha.
“Kita juga perlu meningkatkan tahap keselamatan dengan memastikan kehidupan yang lebih panjang dapat dilalui dengan keupayaan membuat pilihan, hubungan sosial dan tujuan hidup,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa individu yang berkemampuan dan mahu terus bekerja selepas usia 60 tahun perlu diberi peluang untuk berbuat demikian, sambil menekankan bahawa ia adalah soal pilihan dan bukannya paksaan.
“Mereka yang berkemampuan dan mahu terus bekerja selepas usia 60 tahun perlu diberi peluang untuk berbuat demikian. Ini adalah soal pilihan, bukan paksaan,” tambahnya.
Malaysia memasuki kategori negara menua pada 2021 apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas melebihi tujuh peratus daripada jumlah populasi.
Peratusan itu dijangka meningkat kepada 10 peratus menjelang 2035, manakala menjelang 2048, seorang daripada setiap tujuh rakyat Malaysia dijangka berusia 65 tahun ke atas, sekali gus meletakkan Malaysia dalam kategori negara tua mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, jangka hayat yang lebih panjang tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai cabaran, sebaliknya berpotensi membuka sumber baharu kepada pertumbuhan ekonomi, penyertaan sosial, inovasi dan potensi insan.
“Jangka hayat yang lebih panjang boleh membuka sumber baharu kepada pertumbuhan ekonomi, penyertaan sosial, inovasi dan potensi insan sekiranya kita membuat persediaan yang berkesan mulai hari ini,” katanya.
Menurut beliau, persediaan menghadapi jangka hayat yang lebih panjang memerlukan pemikiran jangka panjang serta tindakan secara kolektif membabitkan kerajaan, perniagaan, komuniti dan individu.
“Ketika Malaysia melihat ke arah ufuk panjang yang mendatang, ISWC 2026 menjadi peringatan tepat pada masanya bahawa persediaan menghadapi jangka hayat yang lebih panjang memerlukan pendekatan seluruh negara,” tambahnya lagi.
ISWC 2026 yang berlangsung selama dua hari itu dianjurkan bersama KWSP dan Kementerian Kewangan dengan tema “The Long Horizon”.
Persidangan berkenaan memberi tumpuan kepada bagaimana jangka hayat yang semakin panjang mengubah cara masyarakat menjalani kehidupan, bekerja dan membuat persediaan untuk masa depan.
Antara isu yang dibincangkan termasuk kecukupan persaraan, keselamatan kewangan, penjagaan kesihatan dan penjagaan jangka panjang, pembentukan komuniti mesra usia serta sokongan antara generasi.
Persidangan itu turut meneroka peranan inovasi dan teknologi dalam meningkatkan kualiti hidup serta menyokong kehidupan berdikari dalam kalangan populasi yang semakin menua.
ISWC 2026 menghimpunkan pembuat dasar, pengamal industri, ahli akademik dan pakar antarabangsa bagi membincangkan tindak balas dasar serta pendekatan terhadap perubahan demografi dan implikasinya terhadap kesejahteraan sosial negara.