KUALA LUMPUR: Jaminan pinjaman syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM18.17 bilion sehingga akhir 2022, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dikeluarkan hari ini.

Jaminan pinjaman berkenaan terdiri daripada bon berjumlah AS$3 bilion atau RM13.17 bilion yang perlu dilunaskan pada 2023 dan bon sebanyak RM5 bilion yang akan matang menjelang 2039.

Laporan itu menjelaskan bon 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) telah matang dalam 2022.

Di samping itu, prinsipal bon berjumlah AS$3.5 bilion atau RM15.524 bilion telah dilunaskan menggunakan dana Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AAMKA), manakala faedah pinjaman 1MDB yang mencecah RM1.541 bilion pada 2022 dilunaskan menggunakan peruntukan pembangunan berjumlah RM1.53 bilion dan dana AAMKA berjumlah RM11 juta.

Dana AAMKA berbaki RM1.927 bilion pada akhir tahun lalu.

Secara keseluruhan, komitmen jaminan kerajaan yang dilaporkan adalah berjumlah RM224.116 bilion pada 2022, menyusut sebanyak RM5.276 bilion atau 2.3 peratus berbanding 2021 yang berada pada RM229.392 bilion.

Pengurangan dalam kedudukan komitmen jaminan disebabkan oleh bayaran prinsipal pinjaman syarikat terutamanya 1MDB yang berjumlah AS$3.5 bilion atau RM15.524 bilion, Govco Holdings Bhd (RM1.075 bilion), SRC International Sdn Bhd sebanyak (RM985 juta), Turus Pesawat Sdn Bhd (RM500 juta), Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (RM468 juta) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd berjumlah RM94.62 juta).

Selain itu, laporan itu menyatakan terdapat terbitan pinjaman baharu antaranya oleh syarikat DanaInfra Nasional Bhd, Malaysia Rail-Link Sdn Bhd, Prasarana Malaysia Bhd dan TRX City Sdn Bhd bagi membiayai pelaksanaan projek infrastruktur negara.

Menurut laporan itu, Liabiliti Persekutuan berjumlah RM1.399 trilion iaitu terdiri daripada Hutang Persekutuan sebanyak RM1.080 trilion dan Liabiliti Kewangan berjumlah RM319.571 bilion.

Liabiliti Kewangan ini merangkumi Liabiliti Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) berjumlah RM34.492 bilion, Komitmen Kewangan sebanyak RM284.924 bilion serta Pelbagai Liabiliti berjumlah RM0.155 bilion.

Katanya, Liabiliti Persekutuan meningkat RM94.116 bilion atau 7.2 peratus berbanding 2021 yang berjumlah RM1.305 trilion.

Nisbah Liabiliti Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar adalah 78.1 peratus berbanding 84.3 peratus pada 2021.

-- BERNAMA