JOHOR BAHRU: Platform Jiwa SME oleh Astro AWANI untuk memperkasa usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bakal dibawa ke peringkat antarabangsa tahun hadapan.

Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail memaklumkan perancangan itu merupakan sebahagian daripada usaha dan komitmen berterusan pihaknya dalam membantu usahawan PKS menaik taraf perniagaan mereka.

"Tahun depan kita akan memperhebat dan meraikan lagi usahawan tempatan dengan memperbesarkan lagi kempen ini.

"Bukan saja Jiwa SME yang fokus kepada pasaran tempatan tapi usahawan tempatan yang ingin menembusi pasaran antarabangsa, yang kita panggil sebagai Jiwa SME Go Global," katanya dalam ucapan siri kedua jelajah Jiwa SME di Toppen Shopping Centre, Johor Bahru, pada Sabtu.

Tambah Ashwad, beliau yakin dengan kemampuan usahawan tempatan dalam mengangkat ekonomi dan membawa idea serta jenama mereka ke luar negara, sekali gus merealisasikan matlamat 30 peratus rakyat Malaysia menceburi bidang keusahawanan.

Jelajah dua hari sehingga Ahad ini akan menampilkan perkongsian daripada pakar-pakar industri, usahawan PMKS, dan bengkel-bengkel ilmu, selain turut menyajikan hiburan dan reruai yang menawarkan perkhidmatan kepada para usahawan dan pengunjung. 

Turut berlangsung ialah sesi bengkel bersama Unifi Business, TikTok Shop, dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), yang boleh dimanfaatkan para usahawan PMKS untuk diterapkan dalam perniagaan mereka.

Selain itu, pengunjung yang hadir turut disajikan dengan hiburan seperti nyanyian daripada pemuzik tempatan iaitu Middle Groove dan persembahan tarian zapin oleh Seri Irwana Tari.

Pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik melalui cabutan bertuah.

Siri Jelajah Jiwa SME oleh Astro AWANI ini mendapat kerjasama antaranya Unifi Business selaku penaja utama, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebagai rakan strategik, dan Astro Radio sebagai rakan penyiar, manakala Toppen Shopping Centre pula adalah rakan penyedia lokasi.