PETALING JAYA: Jelajah JIWA SME 2026 Selangor membuka ruang kepada usahawan fesyen dan kecantikan tempatan memperkukuh jenama, memanfaatkan teknologi serta meneroka pasaran lebih luas menerusi penganjurannya di Paradigm Mall Petaling Jaya.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, usaha mengembangkan jenama perlu disokong pengurusan perniagaan yang kukuh, keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan pengguna serta jaringan yang dapat membuka peluang baharu.
“Kami percaya bahawa kekuatan usahawan bukan hanya terletak pada produk yang mereka hasilkan, tetapi juga pada jaringan, pengetahuan dan sokongan yang ada di sekeliling mereka,” katanya ketika merasmikan Jelajah JIWA SME 2026 Siri Keempat di sini pada Sabtu.
Bertemakan “Fesyen dan Kecantikan”, program anjuran Astro AWANI dengan sokongan penaja utama, Unifi Business itu meneruskan jelajah selepas Kuala Lumpur, Sabah dan Terengganu.
Menurut Norsyahrin, pertemuan antara usahawan, pemain industri, agensi dan rakan strategik memberi peluang kepada peserta mendapatkan pengetahuan serta sokongan yang sukar diperoleh jika bergerak sendiri.
Beliau turut mengetengahkan Gerakan Ekoniaga MADANI (GEMA), inisiatif DPMM bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menghubungkan usahawan dengan agensi kerajaan, institusi kewangan dan entiti korporat bagi memudahkan akses pembiayaan, peluang vendor serta pasaran.
“Datang bukan sekadar untuk melihat atau mempamerkan produk, tetapi gunakan ruang ini untuk bertanya, berkongsi pengalaman, mencari rakan niaga dan membina hubungan yang boleh membawa kepada peluang baharu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah dan Ketua Pengarang Astro AWANI, Zaiful Ariffin berkata, pemilihan tema fesyen dan kecantikan bertujuan mengubah persepsi terhadap industri itu serta mendorong usahawan membina jenama yang mampu berkembang.
“Kita mahu mengangkat martabat usahawan dalam industri ini, daripada sekadar ‘menjual produk’ kepada membina jenama.
“Daripada berniaga secara kecil-kecilan kepada membina perniagaan yang boleh berkembang, dan daripada hanya dikenali di Malaysia kepada berani melihat pasaran ASEAN dan dunia,” katanya.
Menurut Zaiful, fesyen dan kecantikan perlu dilihat sebagai industri yang menghubungkan kreativiti dengan peluang pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata, JIWA SME telah melibatkan kira-kira 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan lebih 169 usahawan tampil di pentas pembentangan perniagaan.
Capaian digital platform itu turut meningkat daripada sekitar 1.9 juta pada 2023 kepada 3.7 juta pada 2025, mencerminkan peluasan ruang pendedahan kepada komuniti usahawan.
Tambahnya, Astro AWANI mahu mengetengahkan pengusaha di sebalik sesuatu jenama, termasuk perjalanan mereka membina perniagaan, cabaran yang ditempuhi dan nilai yang dibawa produk tempatan.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Jualan PKS Unifi Business, Shahril Effendi Jaafar berkata, sokongan pendigitalan perlu merangkumi setiap peringkat perkembangan perniagaan supaya lebih ramai usahawan dapat memanfaatkan peluang dalam pasaran digital.
“Kami mahu membantu usahawan daripada pelbagai peringkat, daripada mereka yang baru bermula kepada usahawan yang sedang membina jenama, sehinggalah perusahaan kecil dan sederhana yang bersedia untuk mengembangkan perniagaan.
“Sebagai rakan digital pilihan anda, Unifi Business bukan sekadar membantu perniagaan untuk kekal berhubung, tetapi turut menyokong mereka untuk membina, mengembangkan dan melindungi perniagaan dalam dunia yang semakin digital,” katanya.
Menurut Shahril, saluran digital membolehkan usahawan membina komuniti menerusi media sosial, memperkenalkan produk kepada khalayak lebih besar dan menjangkau pelanggan di luar pasaran sedia ada.
Beliau turut menggalakkan pengusaha berkongsi cerita serta keunikan jenama masing-masing bagi membina hubungan lebih erat dengan pelanggan.
Antara usahawan Unifi Business yang dibawa menyertai edisi Selangor ialah Songkok Malaya, Laurel B dan NR Cosmetics.
Sepanjang jelajah, pengunjung berpeluang mengikuti sesi perkongsian bersama pemain industri, Pentas Jual, Pentas CIPTA, bengkel TikTok serta Sudut Solusi, selain meneroka produk tempatan dan membina jaringan perniagaan.
Jelajah JIWA SME 2026 Selangor berlangsung pada 26 dan 27 September di Paradigm Mall Petaling Jaya dengan kemasukan percuma kepada orang ramai.
Sertai komuniti usahawan JIWA SME sekarang dan layari jiwasme.com.my.