KUALA LUMPUR: Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang baharu dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan telah meletak jawatan sebagai Pengerusi CI Holdings Bhd hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, CI Holdings berkata Johari, 59, bukan lagi ahli jawatankuasa pencalonan dan imbuhan syarikat itu berikutan peletakan jawatannya sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas.

"Pengarah syarikat itu, Megat Joha Megat Abdul Rahman, 60, yang mempunyai kepentingan langsung sebanyak 0.62 peratus dalam syarikat itu telah dilantik semula sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas," kata CI Holdings yang terbabit dalam pembuatan dan pembungkusan minyak makan pada makluman berasingan di Bursa Malaysia.

Menurut laporan tahunan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2023 (TK2023), Johari ialah pemegang saham tunggal terbesar CI Holdings dengan memegang 53.4 juta, atau 32.96 peratus kepentingan tidak langsung dalam syarikat itu melalui JAG Capital Holdings Sdn Bhd.

Laporan tahunan itu berkata Johari dilantik ke lembaga pengarah pada 6 Mac, 2019, dan dilantik semula sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas pada 30 Mei, 2019.

Johari, yang merupakan bekas menteri kewangan II, dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi yang baharu berikutan rombakan Kabinet hari ini.

Pelantikan beliau diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri pagi tadi.

--BERNAMA