Ringkasan AI
- Malaysia menawarkan dua rangkaian 5G menggunakan teknologi Barat dan China, memberi pilihan serta kelebihan daya saing kepada pelabur asing.
- Pelabur menekankan kepentingan dasar yang konsisten, keselamatan digital, dan keserasian teknologi untuk memastikan keyakinan serta operasi perniagaan yang lancar.
- Pertahanan siber yang mantap dan prosedur tindak balas jelas diperlukan bagi menangani insiden serta meningkatkan kepercayaan pelabur terhadap ekosistem digital negara.
PETALING JAYA: Keupayaan Malaysia menawarkan pilihan teknologi 5G dari Barat dan China memberi kelebihan kepada pelabur asing, namun kestabilan dasar serta jaminan keselamatan digital kekal menjadi pertimbangan penting sebelum mereka membuat keputusan untuk mengembangkan operasi di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif EUROCHAM Malaysia, Kati Ferry berkata pendekatan berkecuali itu membolehkan syarikat antarabangsa memilih rangkaian dan sistem yang bersesuaian dengan keperluan operasi masing-masing, khususnya bagi perniagaan yang sudah menggunakan teknologi tertentu di pasaran lain.
“Pendirian berkecuali ini memberikan Malaysia kelebihan daya saing yang sangat besar.
“Malaysia memilih teknologi terbaik dari Timur dan Barat. Saya fikir inilah sebabnya syarikat masih datang ke sini kerana mereka mempunyai pilihan,” katanya kepada FMT.
Malaysia kini mempunyai dua rangkaian 5G nasional menggunakan teknologi berbeza iaitu Digital Nasional Bhd (DNB) yang menggunakan peralatan Ericsson, manakala rangkaian kedua U Mobile menggunakan teknologi Huawei dan ZTE.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini menjelaskan pendekatan dwi rangkaian itu bertujuan mengimbangi persaingan antara penyedia teknologi serta mengelakkan kebergantungan berlebihan kepada mana-mana kuasa besar.
Bagaimanapun, perubahan struktur pemilikan DNB yang dijangka menyaksikan kerajaan tidak lagi menjadi pemegang saham utama dengan CelcomDigi, Maxis dan YTL Power memperoleh kawalan lebih besar, turut mencetuskan persoalan mengenai hala tuju perolehan teknologi pada masa depan.
Penganalisis juga menyuarakan kebimbangan bahawa kedua-dua rangkaian mungkin menggunakan teknologi yang semakin serupa, sekali gus mengehadkan pilihan kepada sektor perniagaan.
Sehubungan itu, Ferry berkata keserasian teknologi amat penting bagi syarikat Eropah yang mahu mengekalkan sistem sedia ada ketika beroperasi di Malaysia.
“Syarikat di EU menggunakan sistem yang serasi dengan rangkaian 5G Barat. Apabila datang ke Malaysia, mereka mahu memastikan keserasian itu dapat dikekalkan.
“Ini membolehkan mereka melaksanakan operasi dengan lebih cepat serta mengembangkan perniagaan dengan lebih mudah,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kelebihan teknologi perlu disokong dasar dan peraturan yang jelas serta konsisten bagi memberi keyakinan kepada pelabur dalam membuat perancangan jangka panjang.
“Sesuatu yang tidak dinyatakan secara rasmi sukar diyakini.
“Kami sentiasa percaya bahawa dasar dan peraturan yang kukuh, boleh dipercayai serta konsisten mampu menarik lebih ramai pelabur.
“Dasar yang berubah setiap tiga bulan tidak membantu,” ujarnya.
Pada Jun lalu, Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Rafael Daerr memberitahu FMT bahawa pelabur Eropah lebih selesa dengan model dwirangkaian 5G kerana menawarkan keserasian teknologi, kepastian dasar dan akses kepada infrastruktur yang memenuhi keperluan perniagaan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut menggesa kerajaan mengekalkan kedua-dua ekosistem teknologi 5G Barat dan China bagi memelihara keyakinan pelabur serta kedaulatan digital negara.
Selain infrastruktur 5G, Ferry berkata Malaysia juga perlu memastikan urusan perniagaan rentas sempadan, termasuk transaksi pembayaran dan pemindahan data dapat dilaksanakan dengan selamat.
Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN berpotensi menyelaraskan peraturan di rantau ini, sekali gus memudahkan syarikat beroperasi di pasaran berbeza, namun usaha itu perlu disertai penguatkuasaan berkesan.
Dalam aspek keselamatan siber, beliau berkata pelabur turut menilai keupayaan negara bertindak apabila berlaku insiden dan bukan sekadar peraturan yang ditetapkan.
“Apa yang akan membuktikan kewibawaan dan membina kepercayaan ialah contoh kes yang menunjukkan tindakan penguatkuasaan benar-benar diambil,” katanya.
Beliau turut membangkitkan keperluan prosedur tindak balas yang jelas sekiranya syarikat menjadi mangsa serangan siber.
“Jika sebuah syarikat menjadi mangsa penggodaman di sini, apakah prosedur yang perlu diikuti?
“Siapa yang perlu dihubungi? Bagaimana laporan dibuat? Adakah negara ini benar-benar bersedia menangani insiden sedemikian?” soalnya.
Ferry berkata Malaysia sudah membangunkan infrastruktur ketersambungan digital yang kukuh, namun ia perlu diseimbangkan dengan pertahanan siber yang mantap serta kesedaran dalam kalangan masyarakat dan komuniti perniagaan.
“Jika data tidak dapat dipindahkan dengan selamat dan pengguna tidak mempunyai keyakinan terhadap sistem yang digunakan, saya percaya perniagaan tidak akan dapat berkembang lebih jauh,” tambahnya.