Skip to main content

Malaysia

PRN Melaka: BN jamin teruskan dasar tarik pelaburan, cipta peluang pekerjaan - Ab Rauf

Ab Rauf (tengah) melihat mesin pelekat automatik ketika melawat Kilang Koa pada Majlis Perasmian Pembukaan Rasmi Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd di Industri Ayer Keroh Baru hari ini.  --fotoBERNAMA
Ab Rauf (tengah) melihat mesin pelekat automatik ketika melawat Kilang Koa pada Majlis Perasmian Pembukaan Rasmi Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd di Industri Ayer Keroh Baru hari ini. --fotoBERNAMA
Advertisement

MELAKA TENGAH: Barisan Nasional (BN) memberi jaminan akan meneruskan dasar yang memudahkan kemasukan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat, jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kesinambungan dasar berkenaan penting bagi memastikan negeri itu terus menjadi destinasi pilihan pelabur, sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Pastinya kalau diberikan mandat oleh rakyat, kita akan meneruskan segala dasar ini untuk memastikan pertama, datangnya pelaburan dan kedua, ada peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka.

Advertisement

“Ini telah terbukti apabila Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd telah mengotakan janjinya sejak 53 tahun dan memberikan satu pelaburan nilai tambah dalam negeri Melaka yang akan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Kilang Koa Denko di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Advertisement

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Koa Denko kini terus mengembangkan operasinya di negeri itu, termasuk dengan pembukaan cawangan kilang baharu.

Ujar Pengerusi BN Melaka itu, sekitar 1,000 peluang pekerjaan dijangka disediakan kepada rakyat Melaka menjelang tahun depan.

“Ini menunjukkan bahawa keyakinan terhadap pentadbiran dan juga kestabilan kerajaan negeri selama ini mendapat penghargaan dan pengiktirafan daripada syarikat antarabangsa yang terus berkembang dan mengembangkan pelaburannya di negeri Melaka,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ab Rauf memaklumkan Melaka merekodkan RM14.68 bilion pelaburan diluluskan pada 2025 membabitkan 312 projek, pencapaian pelaburan tertinggi negeri itu dalam tempoh 22 tahun.

Menurutnya, pencapaian berkenaan menjadi asas untuk kerajaan negeri membawa sektor pembuatan Melaka ke tahap seterusnya.

Katanya, tumpuan lebih besar akan diberikan kepada sektor elektronik bernilai tinggi, semikonduktor dan teknologi termaju.

“Saya mahu melihat lebih banyak syarikat teknologi global melabur di Melaka, lebih banyak syarikat tempatan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan mereka dan lebih banyak peluang dibuka kepada rakyat kita,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement