AYER KEROH: Pakatan Harapan (PH) mencabar Barisan Nasional (BN) mengemukakan bukti bertulis berhubung dakwaan 97 peratus daripada 103 inisiatif manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 telah dilaksanakan.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata angka yang diumumkan BN itu perlu diperincikan supaya rakyat dapat menilai pencapaian sebenar pentadbiran kerajaan negeri sepanjang penggal lalu.
"Sepanjang kempen ini, kita sentiasa menuntut penjelasan bertulis tentang status setiap janji dan kami turut meminta perkembangan 55 projek yang dilaporkan belum bermula setakat Jun 2025.
"Tanpa bukti yang boleh disemak, angka 97 peratus itu tinggal slogan kempen untuk meraih populariti," katanya pada sidang media terakhir PH menjelang hari pengundian, di Bilik Gerakan Utama PH, di sini, hari ini.
Adly turut mempersoalkan janji mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dalam manifesto terdahulu yang menurutnya tidak ditunaikan, sebelum sasaran itu dikurangkan kepada 25,000.
Beliau turut membangkitkan janji menyediakan ambulans di setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) dalam tempoh setahun yang didakwanya tidak dilaksanakan.
"Bagaimana BN boleh mendakwa 97 peratus daripada 103 inisiatif manifesto itu telah pun dilaksanakan?
"Kita boleh mengeluarkan kenyataan ini tetapi kebertanggungjawaban kita harus ada kerana akhirnya apa pun angka yang kita sebut, rakyat sebenarnya memerlukan semua perkhidmatan yang telah kita janjikan," katanya lagi.
Adly berkata BN juga perlu menjelaskan hasil pentadbirannya memandangkan Melaka telah diterajui dua Ketua Menteri daripada gabungan itu dalam satu penggal.
Jelasnya, penilaian terhadap prestasi kerajaan tidak seharusnya bersandarkan peratusan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pelaksanaan sebenar setiap janji kepada rakyat.
Gesaan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh pada 6 November lalu yang mendakwa kerajaan BN telah berjaya melaksanakan 97 peratus daripada 103 inisiatif manifesto PRN Melaka 2021.
PRN Melaka ke-16 akan berlangsung esok di 240 pusat mengundi membabitkan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi rebutan seramai 79 calon.