KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan bahawa Boustead Holdings Bhd yang diambil alih oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada Jun 2023 akan melepaskan pegangannya dalam Affin Bank Bhd kepada kerajaan negeri Sarawak.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan jumlah pegangan yang akan dilupuskan.

Katanya, perjanjian itu kini sedang menunggu kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kami akan meneruskannya (jualan kepentingan) dan hanya menunggu kelulusan daripada BNM.

"Bukan LTAT tetapi anak syarikatnya, Boustead. LTAT masih mengekalkan pegangannya dalam Affin Bank," katanya

LTAT kini memegang 28.79% pegangan ekuiti dalam Affin Bank manakala unit milik penuhnya Boustead mempunyai 20.02% kepentingan. Pemegang saham kedua terbesar bank itu ialah Bank of East Asia Ltd, dengan 23.93% kepentingan.

Sarawak, melalui Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, kini mempunyai 4.8% pegangan dalam Affin Bank, selepas membeli 112.56 juta saham pada pertengahan April tahun lepas pada RM1.97 sesaham, atau RM221.74 juta secara keseluruhan.

Pada Januari 2024, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg berkata, rundingan dengan LTAT untuk kerajaan negeri memperoleh pegangan tambahan dalam Affin Bank dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, memberi jaminan bahawa kementerian itu komited melaksanakan semula penstrukturan LTAT di bawah Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN25) dan menyatakan ia merangkumi rancangan menyusun semula model perniagaan serta pegangan saham LTAT dalam syarikat strategik.

"Saya ingin mengulangi komitmen Kementerian Pertahanan dalam memacu LTAT menjadi sebuah organisasi yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan menjamin perlindungan sosial Angkatan Tentera Malaysia.

"LTAT komited mengamalkan pengurusan aliran tunai yang berhemat dan teliti bagi memenuhi keperluan membayar balik simpanan persaraan kepada pencarumnya.

"Kami mahu mengoptimumkan prestasi LTAT dengan model perniagaan terbaik tanpa menjejaskan minat strategik melibatkan entiti yang memiliki potensi besar," katanya. - DagangNews.com