BUSINESS
Jumlah jualan sektor automotif susut 8.5 peratus pada 2025 - HLIB

Jangkaan TIV yang lebih lemah terutamanya disebabkan oleh penurunan pesanan tertunggak dan pengurangan pengambilan pesanan baharu dalam tempoh beberapa bulan akan datang. - Gambar hiasan/Pexels
KUALA LUMPUR: Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan jumlah volum industri (TIV) bagi sektor automotif menyusut 8.2 peratus tahun ke tahun kepada 750,000 unit pada 2025, selepas mencatatkan rekod tertinggi pada 2024 sebanyak 816,700 unit.
Bank pelaburan itu berkata jangkaan TIV yang lebih lemah terutamanya disebabkan oleh penurunan pesanan tertunggak dan pengurangan pengambilan pesanan baharu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
"Bagaimanapun, masih terdapat potensi peningkatan dengan pelancaran model baharu yang lebih menarik pada 2025, selain aktiviti pemasaran yang lebih agresif oleh pelbagai pengeluar peralatan asli (OEM) bagi mengekalkan jualan, tetapi dengan mengetepikan margin.
Bank pelaburan itu turut mengekalkan saranan "berkecuali" terhadap sektor itu dengan pilihan utama merupakan MBM Resources Bhd dan Sime Darby Bhd, memandangkan pendedahan mereka kepada volum jualan Perodua yang lebih mampan."Kemasukan beberapa pemain kenderaan elektrik (EV) baharu terus menimbulkan ancaman kepada OEM bukan nasional berikutan harga mereka yang lebih menarik," katanya.
HLIB berkata pesanan tertunggak semasa semakin berkurangan pada suku kedua 2025 dan ia dijangka terus melemah pada suku berikutnya apabila sentimen pengguna semakin lemah seiring dengan prospek ekonomi yang lebih perlahan.
"Kami menjangkakan pendapatan bagi sektor itu merosot pada 2025 disebabkan oleh volum jualan lebih rendah dan kos operasi yang lebih tinggi tetapi sebahagiannya diimbangi oleh kekuatan ringgit," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami