Ringkasan AI
- Menteri Pendidikan Korea Selatan, Choi Kyo-jin, meletak jawatan susulan kontroversi penipuan peperiksaan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan kritikan terhadap langkah kawalan suneung.
- Kerajaan memperkenalkan langkah pencegahan saat akhir, termasuk menyekat Wi-Fi awam dan mewajibkan penyerahan peranti pintar sebelum peperiksaan, namun masih menerima kritikan.
- Sepanjang peperiksaan, pihak berkuasa mengesan 111 kes salah laku melibatkan peranti elektronik, mencetuskan kebimbangan terhadap integriti peperiksaan kebangsaan tersebut.
SEOUL: Menteri Pendidikan Korea Selatan, Choi Kyo-jin, meletak jawatan pada Ahad susulan kontroversi penipuan peperiksaan menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta kritikan terhadap langkah kawalan yang dilaksanakan menjelang peperiksaan kemasukan universiti kebangsaan negara itu, dikenali sebagai suneung.
Kebimbangan mengenai penipuan berbantukan AI tercetus sejak minggu lalu selepas calon yang memperoleh markah tertinggi dalam peperiksaan akauntan cukai kebangsaan mengaku menggunakan kamera mini dan telefon pintar untuk mendapatkan markah hampir sempurna, lapor Guardian.
Pengakuan itu dibuat hanya empat hari sebelum suneung berlangsung pada Khamis, sekali gus mendorong pihak berkuasa memperkenalkan beberapa langkah pencegahan pada saat akhir termasuk menyekat rangkaian Wi‑Fi awam di kawasan pusat peperiksaan.
Bagaimanapun, langkah itu gagal meredakan kebimbangan orang ramai apabila kesatuan guru serta pelajar mengkritik reaksi kerajaan yang dianggap lewat dan mengelirukan.
Peperiksaan selama lapan hingga sembilan jam itu dianggap antara peperiksaan paling penting di Korea Selatan kerana menentukan kemasukan ke universiti serta prospek kerjaya calon.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di platform X, menteri berkenaan mengakui pihaknya gagal membuat persediaan lebih awal bagi menangani ancaman penipuan peperiksaan menggunakan teknologi baharu.
“Peperiksaan berjaya dilaksanakan tanpa sebarang insiden besar. Namun sebagai menteri bertanggungjawab, saya tidak terlepas daripada kritikan awam bahawa kami gagal membuat persediaan awal yang mencukupi.
“Kini setelah peperiksaan tamat, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan dengan ini mengemukakan peletakan jawatan,” katanya.
Pejabat Presiden memaklumkan peletakan jawatan itu diterima kira-kira sejam selepas pengumuman dibuat.
Sebelum ini, menteri terbabit mengundang kritikan ketika sesi pendengaran Parlimen apabila mengakui beliau tidak yakin mampu mengesan calon yang menipu pada hari peperiksaan selain tidak menghadiri sidang media berkaitan langkah pencegahan yang diumumkan kerajaan.
Sebagai rekod, Korea Selatan saban tahun melaksanakan pelbagai langkah luar biasa bagi memastikan kelancaran suneung, termasuk menjadualkan semula penerbangan ketika ujian mendengar bahasa Inggeris, menggantung latihan ketenteraan, melewatkan pembukaan pasaran saham serta mengehadkan pergerakan kenderaan berhampiran pusat peperiksaan.
Susulan skandal penipuan itu, kerajaan turut mewajibkan semua peranti pintar dimatikan dan diserahkan sebelum peperiksaan selain menjalankan pemeriksaan ke atas cermin mata, jam tangan, pakaian dan aksesori calon bagi mengesan kamera tersembunyi.
Pihak berkuasa juga menghantar beberapa amaran kecemasan ke telefon bimbit di seluruh negara sebagai sebahagian daripada kempen meningkatkan kesedaran mengenai larangan penggunaan peranti elektronik ketika peperiksaan.
Menurut pegawai berkaitan, sebanyak 111 kes salah laku melibatkan peranti elektronik berjaya dikesan sepanjang peperiksaan berlangsung pada Khamis lalu.