Skip to main content

Dunia

Tentera Laut AS tidak berhasrat tukar nama USS Doris Miller kepada Trump

Keputusan menamakan kapal pengangkut pesawat keempat dalam kelas baharu itu sebagai USS Doris Miller dibuat ketika penggal pertama pentadbiran Trump. - Ilustrasi: US Naval Institute
Keputusan menamakan kapal pengangkut pesawat keempat dalam kelas baharu itu sebagai USS Doris Miller dibuat ketika penggal pertama pentadbiran Trump. - Ilustrasi: US Naval Institute
Advertisement

MOSCOW: Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) tidak berhasrat menukar nama kapal pengangkut pesawat USS Doris Miller yang sedang dibina kepada nama Presiden Donald Trump, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik CNN dan Pemangku Setiausaha Tentera Laut AS Hung Cao.

Pada Ogos, NBC News melaporkan bahawa kepimpinan Tentera Laut AS pernah mempertimbangkan untuk menamakan kapal berkenaan sempena Trump, walaupun ia pada asalnya dinamakan bagi menghormati Doris Miller, anggota tentera laut kulit hitam pertama yang menerima anugerah ketenteraan utama dalam perkhidmatan itu.

"Tiada sebarang hasrat untuk menukar nama USS Doris Miller," kata jurucakap Cao kepada CNN.

Advertisement

Keputusan menamakan kapal pengangkut pesawat keempat dalam kelas baharu itu sebagai USS Doris Miller dibuat ketika penggal pertama pentadbiran Trump, bagi mengenang keberanian anggota tentera laut berkenaan ketika mempertahankan Pearl Harbor daripada serangan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Walaupun tidak pernah menerima latihan rasmi, Miller mengendalikan mesingan dan menembak jatuh sekurang-kurangnya sebuah pesawat Jepun, selain membantu memindahkan anggota tentera yang cedera ke tempat selamat.

Advertisement

Beliau merupakan anggota tentera laut kulit hitam pertama menerima Navy Cross, pingat kebesaran tentera kedua tertinggi dalam Tentera Laut AS.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video

Advertisement