ISLAMABAD: Jerebu berbahaya menyebabkan Lahore, bandar kedua terbesar di Pakistan mencatatkan tahap pencemaran udara tertinggi di dunia pada Ahad, ketika pihak berkuasa masih bergelut membendung masalah itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut badan pemikir alam sekitar global IQAir, bandar berkenaan merekodkan bacaan Indeks Kualiti Udara (IPU) 289, sekali gus menjadikannya bandar paling tercemar di dunia.
Lahore yang terletak di timur Pakistan berhampiran sempadan India secara konsisten menduduki tangga teratas dalam senarai bandar utama paling tercemar di dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini, susulan jerebu tebal dan berbahaya yang menyelubungi sebahagian wilayah Punjab.
Pihak berkuasa menutup beberapa lebuh raya yang menghubungkan bandar utama akibat jarak penglihatan terhad di beberapa lokasi, selain melaksanakan langkah menangani jerebu termasuk mengenakan denda terhadap kenderaan yang mengeluarkan asap berlebihan.
Pihak berkuasa Pakistan mengenal pasti pelepasan asap daripada industri, kilang batu bata dan kenderaan, selain pembakaran sisa tanaman serta sampah sebagai antara punca utama pencemaran udara dan jerebu di Lahore.
Pakistan menyumbang kurang satu peratus daripada pelepasan karbon global, namun merupakan antara 10 negara paling terdedah kepada kesan perubahan iklim.
-- BERNAMA-dpa