Jumlah perdagangan Malaysia pada Mac 2013 meningkat 1.6 peratus kepada RM114.94 bilion berbanding bulan yang sama setahun lalu, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada Rabu.

Peningkatan jumlah dagangan ini disokong oleh pertambahan perdagangan dengan Perancis, China, India, Amerika Syarikat, Korea dan Thailand.

Eksport susut 2.9 peratus kepada RM60.01 bilion berbanding Mac 2012, manakala import meningkat tujuh peratus kepada RM54.93 bilion, kata Kementerian itu dalam satu kenyataan mengenai Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia di sini.

Ia berkata sebahagian besar penyusutan eksport itu dicatatkan oleh produk minyak sawit dan elektrik & elektronik (E&E) terutamanya unit penstoran bagi komputer.

Eksport yang lebih rendah dicatatkan ke Australia, Taiwan, AS dan Jepun.

Eksport barangan perkilangan bagi Mac mencatatkan pengurangan 3.5 peratus setahun lalu kepada RM40.41 bilion pada Mac 2013.

Produk eksport utama bagi bulan berkenaan ialah barangan elektrik dan elektronik (RM19.74 bilion), gas asli cecair (RM5.31 bilion), keluaran petroleum ditapis (RM4.62 bilion), kimia dan bahan kimia (RM4.12 bilion) dan minyak (RM3.63 bilion).

Dari segi import, kata MITI, kategori utama mengikut penggunaan akhir ialah barangan pengantara bernilai RM33.13 bilion atau 60.3 peratus daripada keseluruhan, barangan modal (RM9.11 bilion atau 16.6 peratus) dan barangan penggunaan (RM3.64 bilion atau 6.6 peratus).

Sementara itu, keseluruhan perdagangan Malaysia bagi tiga bulan pertama tahun ini bernilai RM322.38 bilion, meningkat 1.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2012.

Eksport susut 2.4 peratus kepada RM169.47 bilion, manakala import berkembang 6.2 peratus kepada RM152.91 bilion, dan ini menghasilkan lebihan perdagangan sebanyak RM16.55 bilion.

Antara lima rakan dagangan terkemuka, peningkatan perdagangan dicatatkan dengan Asean, dengan pertambahan sebanyak 4.7 peratus, China sebanyak 8.3 peratus, Kesatuan Eropah (4.1 peratus) dan AS (0.9 peratus).

Bagaimanapun, jumlah perdagangan dengan Jepun susut sebanyak 9.7 peratus.

Menurut perangkaan itu, eksport barangan perkilangan dari Januari hingga Mac susut sebanyak 3.2 peratus kepada RM110.7 bilion, bersamaan dengan 65.3 peratus daripada keseluruhan eksport.

"Penyusutan eksport barangan perkilangan ini terutamanya disebabkan oleh penurunan eksport produk E&E, sebanyak 4.9 peratus, terutamanya unit-unit penstoran bagi komputer.

"Bagaimanapun, peningkatan eksport barangan perkilangan dicatatkan bagi barangan diproses serta kelengkapan optikal dan saintifik," katanya.

Eksport barangan perlombongan meningkat sebanyak 7.4 peratus kepada RM40.7 bilion, manakala eksport barangan pertanian menguncup 17.2 peratus kepada RM16.7 bilion.

Eksport minyak sawit dan getah mentah masing-masing susut 20.5 peratus dan 11.5 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan harga.

Kementerian itu berkata import bagi tempoh Januari hingga Mac jumlah import meningkat 6.2 peratus kepada RM152.91.

Penggunaan akhir utama ialah barangan pengantara bernilai RM89.87 bilion daripada keseluruhan, barangan modal (RM24.31 bilion) dan barangan penggunaan (RM10.5 bilion).