KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia mencecah RM2.16 trilion bagi tempoh Januari-Julai 2026, melonjak 24.7 peratus tahun ke tahun, didorong oleh permintaan eksport yang kukuh, demikian menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
MATRADE menerusi satu kenyataan memaklumkan eksport meningkat 29.2 peratus kepada RM1.165 trilion, manakala import naik sebanyak 19.8 peratus kepada RM994.71 bilion.
"Lebihan perdagangan melonjak sebanyak 138.7 peratus kepada RM170.5 bilion, lebih dua kali ganda daripada RM71.42 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas," maklum kenyataan itu.
Menurut MATRADE Perdagangan luar Malaysia mencatatkan prestasi paling kukuh setakat ini bagi tempoh tujuh bulan pertama 2026.
Eksport melepasi RM1 trilion lebih pantas daripada yang dicatatkan pada 2025 apabila pencapaian yang sama direkodkan pada Januari-Ogos bagi tahun itu manakala jumlah perdagangan melebihi RM2 trilion, lebih pantas berbanding dari tempoh Januari-September pada 2025.
"Dengan tempoh berbaki lima bulan lagi pada 2026, prestasi perdagangan Malaysia kekal di landasan untuk mencatatkan satu lagi tahun rekod, berdasarkan pengembangan perdagangan tiga tahun berturut-turut sejak penguncupan yang disebabkan oleh pandemik pada 2020," kata agensi itu.
Sementara itu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus mengukuhkan sumbangannya kepada eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia apabila eksport meningkat 10.5 peratus kepada RM214.5 bilion pada 2025 manakala bahagiannya daripada jumlah eksport negara berkembang kepada 14.7 peratus.
Pembuatan kekal sebagai tunjang eksport PMKS, menyumbang 9.1 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport dan berkembang 8.8 peratus kepada RM132.7 bilion.
Ini sekali gus menunjukkan peningkatan sumbangan PMKS kepada prestasi eksport dan peranannya dalam membawa produk tempatan ke pasaran antarabangsa.
“Bagi tempoh Januari-Julai 2026, makanan dan minuman kekal sebagai industri utama PMKS, dengan eksport produk makanan dan konfeksi meningkat sebanyak 6.3 peratus, produk automotif (+13.8 peratus), manakala produk farmaseutikal (+29.7 peratus), perabot logam (+27.8 peratus), produk berasaskan minyak sawit dan oleokimia (+13.4 peratus) turut mencatatkan pertumbuhan dua digit yang kukuh,” maklum MATRADE.
Prestasi eksport Malaysia disokong oleh permintaan kukuh daripada rakan dagang utama, terutamanya Amerika Syarikat (+58.3 peratus, RM206.59 bilion), ASEAN (+20.3 peratus, RM315.67 bilion), Taiwan (+71.4 peratus, RM80.81 bilion), Hong Kong (+49.8 peratus, RM77.86 bilion), China (+24.3 peratus, RM127.87 bilion) dan Kesatuan Eropah (+29.8 peratus, RM90.73 bilion).
Strategi kepelbagaian pasaran MATRADE ke pasaran bukan tradisional merentasi Afrika, Asia Tengah, Asia Selatan dan Amerika Latin secara kolektif melonjak sebanyak 18.2 peratus kepada RM100.94 bilion, didorong oleh pertumbuhan ketara di Angola (+231.2 peratus), Zimbabwe (+242.7 peratus), Sudan (+203.5 peratus) dan Congo (+117.1 peratus).
Eksport ke Sudan, Congo, Ethiopia dan Zimbabwe telahpun melebihi nilai eksport setahun penuh masing-masing yang dicatatkan pada 2025.
Perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia terus menyokong pertumbuhan eksport, dengan eksport ke negara rakan FTA berkembang sebanyak 22.4 peratus kepada RM737.97 bilion, mewakili 63.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.
Daripada 24 negara rakan FTA, 21 negara mencatatkan pertumbuhan. Eksport ke pasaran Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) meningkat 19.7 peratus kepada RM564.02 bilion, manakala eksport ke pasaran Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) naik 18.1 peratus kepada RM330.42 bilion.
Mengenai prestasi perdagangan, ketua pegawai eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof berkata walaupun angka semasa mencerminkan daya tahan pengeksport Malaysia yang kukuh, kejayaan jangka panjang memerlukan usaha yang teliti untuk mengembangkan ekosistem perdagangan negara secara keseluruhan.
“MATRADE sedang menggandakan usaha untuk memperkasakan PMKS dan syarikat peringkat pertengahan bagi memastikan pengembangan syarikat yang lebih meluas dan disepadukan secara mendalam ke dalam rantaian bekalan global,” katanya.
Bagi tujuan itu, agensi tersebut sedang berusaha mengembangkan program integrasi rantaian nilai global utamanya menghubungkan perniagaan tempatan secara langsung ke platform perdagangan antarabangsa berimpak tinggi termasuk Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough, SEMICON West dan Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC).
-- BERNAMA