KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkemungkinan tumbuh purata 5.7 peratus pada 2026 yang melangkaui unjuran rasmi, dipacu oleh sektor pembuatan, pembinaan dan pelaburan, kata dua ahli ekonomi.
Pengasas Asia Strategic Consulting Sdn Bhd Profesor Paolo Casadio dan Pengasas Williams Business Consultancy Sdn Bhd Profesor Geoffrey Williams turut mengunjurkan pertumbuhan ekonomi mencecah sehingga 5.9 peratus pada suku keempat 2026.
Dalam satu rencana bersama, mereka menyifatkan unjuran itu berdasarkan kepada sistem anggaran semasa berfrekuensi tinggi atau penelitian keadaan pertumbuhan ekonomi semasa mengikut data terkini yang menjejaki aktiviti penggunaan elektrik kilang serta aliran modal.
Mereka berkata unjuran pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus itu adalah berbanding 4.7 peratus yang dipetik daripada Forum Ekonomi Dunia (WEF), unjuran 4.9 peratus oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) serta julat pertumbuhan rasmi antara 4.0 hingga 5.0 peratus.
Dari sudut bekalan, Williams dan Casadio mengunjurkan pembuatan berkembang pada 8.5 peratus manakala pembinaan sebanyak 9.2 peratus manakala perkhidmatan moden merangkumi kewangan, logistik, serta teknologi sebanyak 6.5 peratus.
Mereka juga menyifatkan pertumbuhan sektor pembuatan itu didorong oleh segmen pembungkusan dan pengujian canggih cip kecerdasan buatan (AI) di Pulau Pinang dan pertumbuhan sektor pembinaan adalah berkaitan dengan pembangunan pusat data di koridor Johor-Singapura.
Menyentuh permintaan, kedua-dua ahli ekonomi itu mengunjurkan pelaburan berkembang hampir 10 peratus dan menyumbang lebih daripada 2.1 mata peratusan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Perbelanjaan pengguna pula dijangka tumbuh sebanyak 4.8 peratus dan menyumbang 2.6 mata peratusan kepada pertumbuhan ekonomi manakala sumbangan perbelanjaan kerajaan dan eksport bersih masing-masing 0.4 dan 0.5 mata peratusan.
Mereka juga berpendapat bahawa ukuran ekonomi tradisional mungkin tidak menggambarkan sepenuhnya nilai dijana oleh aktiviti teknologi yang canggih.
“Apabila sebuah fasiliti di Pulau Pinang bertindak memasang sebagai contoh 1,000 alat pemecut kecerdasan buatan (AI) canggih berbanding jumlah sama pemproses asas telefon pintar, jumlah eksport fizikal hampir tidak berubah.
“Berat kontena penghantaran tetap sama dan statistik pelabuhan juga kelihatan serupa, namun nilai ekonomi (sebaliknya jelas) meningkat sehingga 10 kali ganda,” kata mereka.
Casadio dan Williams berkata sistem yang digunakan menjejaki penggunaan elektrik di bilik bersih serta harga premium untuk pesanan produk canggih manakala bagi pusat data, mereka menilai aspek penggunaan kuasa, keperluan penyejukan dan kapasiti pemprosesan sebagai ukuran aktiviti.
Bilik bersih merujuk kepada ruang khusus di fasiliti industri teknologi tinggi seperti pembuatan cip, pemproses AI dan peralatan canggih yang dikawal ketat bagi memastikan habuk, zarah kecil, suhu, kelembapan dan tekanan udara di tahap tertentu.
Selain itu bagi impak pertumbuhan pelaburan, mereka berkata pelaburan yang dipacu oleh AI jelas mewujudkan inflasi setempat di kawasan perindustrian selain aspek tenaga elektrik dan pekerja mahir.
“Kerajaan perlu memastikan kekayaan yang dijana di bilik bersih itu misalnya, dapat diterjemah kepada peningkatan kadar upah/gaji serta kemakmuran secara meluas dan mengelak wujudnya ekonomi dua kelajuan.
“Ancaman atau risiko kitaran ‘Supercycle’ ini bukan kepada jika ianya gagal, tetapi tumpuan manfaatnya kepada kumpulan kecil jika pekerja itu terbukti tidak bersedia,” kata mereka.
Ini berikutan industri yang menjadi pemacu pertumbuhan, memerlukan kemahiran dalam bidang kejuruteraan, sains data dan pembuatan berteknologi tinggi.
Mengulas aspek pelabur, dua ahli ekonomi itu mengenal pasti sektor utiliti pembekal tenaga kepada pusat data, hartanah perindustrian di Johor serta firma kejuruteraan berketepatan tinggi yang membekalkan perkakasan sebagai bidang yang menawarkan peluang pelaburan.
-- BERNAMA