Kerajaan negeri Kedah akan menubuhkan satu pasukan bagi menjalankan kajian kemungkinan untuk memulakan semula projek minyak dan gas di Yan yang ditangguhkan semasa negeri itu di bawah pentadbiran PAS sebelum ini.

Menteri Besar Datuk Paduka Mukhriz Tun Mahathir berkata walaupun projek berkenaan merupakan sasaran negeri, ia tidak perlu dimulakan semula dengan segera.

"Projek tersebut masih belum dijalankan. Ia melibatkan banyak proses kerana menjalankan projek tersebut bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam sekelip mata," kata beliau kepada pemberita di luar majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Lembaga Pembangunan Langkawi dan Pekan Artisan Sdn Bhd.

Mukhriz berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa pihak yang berminat untuk memulakan projek tersebut.

"Kita masih lagi dalam proses merancang dan kita pasti akan umumkan sebaik sahaja proses tersebut boleh dijalankan," kata Mukhriz.

Pada pilihan raya umum lepas, Barisan Nasional Kedah dalam manifestonya menyatakan akan menyambung semula projek Hab Hidrokarbon Sungai Limau, yang sebelum ini dikenali sebagai Zon Perindustrian Petroleum Yan. Projek berkenaan dirancang oleh Barisan Nasional pada 2007.

Bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak, bagaimanapun menangguhkan projek berkenaan berikutan masalah kewangan dan teknikal yang dihadapi pemaju yang dilantik.