Skip to main content

Malaysia

Jerebu bertambah buruk, 28 kawasan catat IPU tidak sihat setakat 7 pagi

Keadaan jerebu yang menyelubungi ibu negara sehingga menjejaskan jarak penglihatan menyebabkan KLCC tidak kelihatan. - Foto BERNAMA
Keadaan jerebu yang menyelubungi ibu negara sehingga menjejaskan jarak penglihatan menyebabkan KLCC tidak kelihatan. - Foto BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Situasi jerebu di beberapa negeri terus merosot apabila sebanyak 28 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 7 pagi ini, menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Kawasan yang merekodkan bacaan IPU tertinggi ialah Batu Muda, Kuala Lumpur dengan bacaan 172, diikuti Johan Setia, Selangor (168), Petaling Jaya, Selangor (164) dan Nilai, Negeri Sembilan (164).

Turut mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Cheras dan Shah Alam masing-masing pada paras 162, Bukit Rambai, Melaka (161), Klang, Selangor (160), Putrajaya (159) serta Seremban, Negeri Sembilan (159).

Di Johor, beberapa lokasi turut berada dalam kategori tidak sihat termasuk Larkin dan Pasir Gudang masing-masing dengan bacaan 156, Kota Tinggi (153), Kluang (147), Pengerang (143), Tangkak (136) dan Batu Pahat (117).

Selain itu, beberapa kawasan di Melaka, Perak, Pahang dan Terengganu turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat antara 152 hingga 155.

Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan antara 51 hingga 100 adalah sederhana dan 0 hingga 50 adalah baik.

Sebanyak 34 stesen pemantauan merekodkan bacaan IPU sederhana pagi ini. Antaranya Seri Manjung, Perak (99), Kuala Selangor, Selangor (98), Tanjung Malim, Perak (96), Kemaman, Terengganu (96) dan Taiping, Perak (95).

Di Sarawak, semua stesen pemantauan yang merekodkan bacaan IPU berada dalam kategori sederhana dengan bacaan antara 32 hingga 92, manakala di Sabah, beberapa kawasan termasuk Tawau (81), Keningau (57) dan Sandakan (55) turut mencatatkan bacaan sederhana.

Sementara itu, hanya enam kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap baik iaitu Kota Kinabalu, Sabah (49), Labuan (49), Langkawi, Kedah (46), Limbang, Sarawak (37), Kimanis, Sabah (34) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak (32).

Orang ramai terutama golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka apabila berada di kawasan yang terjejas akibat jerebu.

Menurut APIMS, bacaan IPU dikemas kini secara berkala bagi memantau tahap kualiti udara di seluruh negara.

 

 

Must Watch Video

Advertisement