KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menambah portfolio kediaman mampu miliknya dengan melancarkan projek Intana Ria 3 di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.

Ia dibina dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM78 juta di atas kawasan seluas 2.82 ekar dan harga bermula dari RM399,000 hingga RM423,000.

Projek kediaman 13 tingkat berkenaan mempunyai 200 unit dan berdekatan dengan rangkaian kejiranan dan kemudahan seperti sekolah, masjid, restoran, pusat perubatan dan pejabat kerajaan, malah tidak jauh dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penduduk juga mempunyai banyak pilihan hab pengangkutan seperti stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang serta perkhidmatan bas RapidKL.

Jaringan akses ke Kuala Lumpur juga mudah melalui beberapa lebuh raya antaranya Lebuhraya Kajang-Silk, Lebuhraya MEX dan Lebuhraya Kajang-Seremban.

Intana Ria 3 di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi merupakan fasa akhir projek kediaman Intana Ria yang dibina oleh PKNS sejak tahun 1998. - Foto PKNS

PKNS dalam satu kenyataan berkata, projek berkenaan merupakan fasa akhir kediaman Intana Ria yang dibina PKNS sejak 1998 di Bandar Baru Bangi.

Menurutnya, projek itu telah mula dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun membabitkan saiz binaan unit seluas 906.86 kaki persegi untuk Jenis A1 dan A2.

“Setiap unit mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan peruntukan dua tempat letak kereta setiap satu.

“Direka bentuk dengan konsep ruang terbuka, setiap unit menawarkan fleksibiliti yang lebih luas kepada satu keluarga dari segi penggunaan ruang yang ditunjukkan menerusi susun atur ruang tau, ruang makan dan dapur yang luas,” kata kenyataan itu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, kenyataan itu menambah, pintu masuk bilik dibina untuk menampakkan lebih privasi, selain pencahayaan semuala jadi dengan pengudaraan baik disepadukan melalui penempatan strategik tingkap di sekeliling unit, dengan siling yang tinggi.

“Antara lain, kediaman ini turut dilengkapi dengan kemudahan kolam renang, gimnasium luar, ruang solat, bilik bacaan.

“Ini termasuk dewan serbaguna dan taman permainan kanak-kanak yang boleh digunakan oleh semua penduduk bagi mengeratkan hubungan masyarakat setempat,” jelasnya.

Mereka yang ingin memiliki unit Intana Ria 3, boleh layari https://bit.ly/PKNSIntanaRia3 atau hubungi 03-5022 0189 atau WhatsApp 010-9280187.