KUALA LUMPUR: Kekurangan pemangkin selepas Wall Street mempamerkan prestasi yang bercampur-campur pada Jumaat minggu lepas mendorong Bursa Malaysia memulakan dagangan minggu ini rendah, kata seorang peniaga.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.63 mata kepada 1,457.04 daripada penutupan dagangan Jumaat iaitu 1,460.67.

Indeks utama dibukar 0.41 mata rendah pada paras 1,460.26.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 175 berbalas 167 manakala 273 kaunter tidak berubah, 1,759 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan 196.88 juta unit bernilai RM77.21 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup agak lemah pada Jumaat apabila pelabur mula mencerna pergerakan cergas baru-baru ini.

Namun begitu, ulasan bercampur-campur daripada pegawai Rizab Persekutuan AS mengenai prospek inflasi di Amerika Syarikat memberikan sokongan dan membantu mengimbangi pasaran, katanya.

"Di dalam negara, FBM KLCI dijangka meneruskan trend menurun. Justeru, indeks utama diunjur berlegar antara julat 1,455-1,465 hari ini, terutamanya disebabkan kekurangan pemangkin positif," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank susut dua sen setiap satu kepada RM9.10 dan RM4.21, manakala CIMB turun tujuh sen kepada RM5.73 dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.22. Tenaga Nasional turun satu sen kepada RM9.95.

Bagi saham aktif, Hong Seng dan Daythree Digital masing-masing kekal pada 3.5 sen dan 44.5 sen, manakala Mercury Securities lemah setengah sen kepada 35 sen.

Sarawak Consolidated dan Hubline tidak berubah pada 64 sen dan empat sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 18.30 mata kepada 10,781.68, Indeks FBMT 100 berkurangan 19.62 mata kepada 10,442.88 dan Indeks FBM Emas Syariah lemah 0.41 mata kepada 11,004.33.

Indeks FBM ACE turun 17.12 mata menjadi 5,154.82, manakala Indeks FBM 70 meraih 0.92 mata kepada 14,303.00.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 63.39 mata kepada 16,319.25, Indeks Tenaga susut 1.28 mata menjadi 851.22 dan Indeks Perladangan turun 1.61 mata kepada 7,005.13.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian tidak berubah pada 173.91.

-- BERNAMA