KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli seharusnya mengambil tanggungjawab untuk mendedahkan kepada umum mengenai siapa yang membiayai semua kos dan perbelanjaan parti Kancil dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini, termasuk kempen propaganda media sosial dan podcast beliau.
Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Shahbudin Embun menegaskan, ia penting kerana parti Kancil yang baru berusia enam atau tujuh bulan mampu untuk berbelanja besar dalam kempen PRN dan menampilkan puluhan calon untuk bertanding walaupun kesemuanya hilang deposit.
Katanya, Rafizi pernah mendedahkan penyata kewangan kempen Bersama bagi PRN Johor pada Julai 2026, dengan jumlah perbelanjaan dilaporkan sebanyak RM796,197 dan pendedahan itu merupakan langkah yang wajar dan patut diiktiraf.
Namun, jelasnya, persoalannya sekarang, bagaimana pula dengan PRN Melaka, adakah penyata kewangan yang lengkap sudah diterbitkan dan berapakah jumlah keseluruhan perbelanjaan?
"Berapakah kos sebenar bagi operasi kempen, sewaan trak, khemah, bahan promosi, perjalanan, penginapan, pengurusan media sosial, penghasilan kandungan digital serta podcast?
"Siapakah yang membiayai semua perbelanjaan tersebut? Berapa banyak datang daripada yuran ahli, crowdfunding, majlis makan malam dan sumbangan individu? Adakah semua perbelanjaan itu direkodkan dan boleh disemak?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahbudin berkata, beliau tidak membuat tuduhan bahawa terdapat pembiayaan tersembunyi atau mana-mana pihak tertentu menjadi penaja rahsia Bersama kerana itu memerlukan bukti.
Tetapi tegasnya, apabila sesebuah parti menggunakan ketelusan sebagai modal politik, parti itu sepatutnya bersedia memberikan penjelasan yang sama menyeluruh kepada rakyat.
"Rafizi sering mengangkat dirinya sebagai tokoh yang berani mendedahkan kelemahan kerajaan, mempersoalkan perbelanjaan awam dan mengkritik pelbagai keputusan pentadbiran.
"Tidak salah mengkritik kerajaan. Malah, kritikan pembangkang dan suara berbeza pandangan merupakan sebahagian daripada demokrasi yang sihat Tetapi persoalannya, mengapa prinsip ketelusan yang begitu lantang dituntut daripada Kerajaan MADANI tidak diterjemahkan dengan tahap kesungguhan yang sama apabila melibatkan organisasi politik sendiri?
"Jika beliau mempersoalkan sumber dana NGO, pihak yang membiayai sesuatu gerakan atau kemungkinan kepentingan di sebalik sesuatu kempen, beliau juga harus bersedia menjawab persoalan yang sama mengenai partinya," katanya.
Tegasnya, jangan sampai wujud persepsi bahawa ketelusan hanya dituntut apabila ia menguntungkan diri sendiri, tetapi dianggap sebagai gangguan apabila soalan yang sama diajukan kepada pihak sendiri.