Skip to main content

Bisnes

Kenyataan tidak masuk akal - Tony Fernandes

Dagang News
Fernandes berkata AirAsia Group berada pada landasan untuk membawa 60 juta penumpang tahun ini dan menyasarkan jumlah itu meningkat kepada 80 juta penumpang tahun depan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengasas dan penasihat AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan laporan memetik sumber yang mendakwa kerajaan sedang menyediakan pelan kontingensi sekiranya syarikat penerbangan tambang rendah itu mengalami kejatuhan, termasuk kemungkinan syarikat penerbangan tempatan lain menyerap rangkaian dan penumpangnya sebagai tidak masuk akal.

Bercakap kepada pemberita pada taklimat media mengenai perkembangan perniagaan kumpulan itu hari ini, Fernandes mengesahkan kerajaan tidak pernah menyatakan perkara berkenaan.

"Bagaimana anda mahu menggantikan 100 pesawat di Malaysia? Anda tidak boleh. Pertama sekali, anda perlu mempunyai struktur kos, jenama, pasaran, rangkaian dan perjanjian sambungan penerbangan kami.

"Saya terkejut perkara itu dijadikan tajuk utama," katanya.

Menurut Fernandes, pembiayaan yang sedang dicari kumpulan itu adalah bagi mengurangkan struktur kos, bukannya petanda bahawa kumpulan berkenaan sedang menuju kebankrapan.

Kenyataan itu susulan laporan Reuters baru-baru ini yang mendakwa kerajaan telah bertanya kepada Malaysia Airlines dan Batik Air sama ada kedua-duanya mampu menyerap laluan domestik serta penumpang AirAsia sebagai sebahagian daripada perancangan senario ketika pihak berkuasa memantau kedudukan kewangan syarikat penerbangan itu.

Bagaimanapun, laporan berkenaan turut menyatakan bahawa perbincangan tersebut tidak menghasilkan sebarang keputusan untuk mengambil alih operasi AirAsia.

Berdepan suku mencabar

Sementara itu, Fernandes mengakui AirAsia Group berdepan suku kedua yang mencabar tahun ini susulan konflik Amerika Syarikat-Iran di Timur Tengah yang menyebabkan harga bahan api jet melonjak melebihi AS$200 setong.

Katanya, keadaan itu memberi tekanan kepada kumpulan berkenaan kerana tiket telah dijual berdasarkan andaian harga bahan api pada AS$85 setong.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai menunggu keputusan kewangan suku ketiga kumpulan itu kerana ia akan menunjukkan jumlah tunai yang dimiliki AirAsia Group, sekali gus mencerminkan kedudukannya yang masih jauh daripada berdepan masalah kecairan.

Fernandes berkata AirAsia Group berada pada landasan untuk membawa 60 juta penumpang tahun ini dan menyasarkan jumlah itu meningkat kepada 80 juta penumpang tahun depan.

Setakat suku kedua tahun ini, kumpulan berkenaan telah membawa 43 juta penumpang.

"Kami hanya perlu menyesuaikan struktur kos dan tambang dan menjelang akhir suku ketiga, kedudukan kecairan akan kembali bertambah baik.

"Ini adalah satu proses penyesuaian. Jika harga minyak kekal pada paras ini, semua syarikat penerbangan perlu melakukan penyesuaian," katanya. - DagangNews.com 

Must Watch Video

Advertisement