KOTA BHARU: Kerajaan akan memberikan tumpuan dalam usaha memulihkan sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, kerajaan menyedari situasi dialami sektor pelancongan malah keseluruhan rantaian pemain industri berkenaan kesan daripada pandemik yang melanda seluruh dunia.

"Ada perkara benda yang sudah kita dengar, ada perkara baharu kita dengar dengan lebih terperinci mengenai sektor pelancongan (hasil daripada pertemuan dengan pemain industri).

"Kerajaan sudah banyak membantu, tapi mereka (pemain industri) mahu supaya diteruskan bantuan atau dipertingkatkan bantuan... jadi mereka mahukan bantuan yang lebih," katanya  selepas sesi pertemuan dengan pemain industri pelancongan Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sektor pelancongan terjejas teruk selepas Malaysia mencatatkan penurunan kemasukan pelancongan asing pada tahun lepas iaitu hanya empat juta orang berbanding tahun 2019 (26.1 juta).

Penurunan sehingga 83.4 peratus itu memberi kesan besar antaranya kepada industri perhotelan, bas pelancongan, bas ekspres dan pemain industri yang lain, katanya.

Mustapa yang juga urusetia Majlis Tindakan Ekonomi negara akan meminta Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) untuk menyediakan kertas cadangan untuk dibentangkan dalam mesyuarat majlis berkenaan kelak.

Katanya, antara cadangan diterima daripada pemain industri adalah membabitkan moratorium pinjaman syarikat bas, bil utiliti hotel dan saranan supaya acara rasmi kerajaan kembali diadakan di hotel.

Jelas Mustapa, pelancongan dilihat masih terjejas berbanding sektor lain termasuk pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan yang sudah mula menunjukkan tanda pemulihan.