KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk membina ekosistem ekonomi yang lebih baik untuk mempergiat kemasukan pelaburan melalui beberapa pembaharuan termasuk sistem perbankan yang lebih baik dan dipercayai serta tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata langkah-langkah termasuk meningkatkan kemahiran pekerja dapat membantu negara untuk mengelakkan pertembungan secara langsung dengan pengeluar kos rendah seperti Indonesia dan Vietnam.

Beliau berkata sektor pembuatan negara kini berada dalam keadaan yang sukar kerana berdepan dengan produk-produk keluaran China yang mempunyai nilai dan teknologi yang kompetitif.

"Kita cuma ada satu kelebihan berbanding China. Kos kita lebih rendah berbanding China dari segi buruh, tetapi kita terlalu bergantung kepada pekerja asing. Sekarang kita bersaing dengan Vietnam dan Indonesia dari segi pembuatan.

"Bagaimanapun, kita masih ada peluang untuk melonjak kepada pengeluaran produk atasan dan lebih mempunyai nilai tambah seperti tenaga solar," katanya pada sesi panel memperkasa ekonomi rakyat pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di sini pada Ahad.

Wong berkata Malaysia perlu mencapai pelepasan karbon sifar bersih lebih awal daripada jangkaan asal pada 2050 untuk menjana perkhidmatan sektor perundingan alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta kelestarian.

"Kita perlu mencapai sifar bersih untuk memberi kredibiliti penuh kepada Malaysia sebagai destinasi utama di Asia Tenggara dan seluruh Asia bagi hab teknologi hijau yang terunggul," katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula berkata kerajaan mesti berkebolehan untuk membawa pelaburan dalam dan luar negara bagi merancakkan sektor peniagaan di Malaysia, seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

"Sesebuah kerajaan itu juga harus mempunyai kredibiliti dan integriti pada kaca mata rakyat serta kompeten dan mempunyai pengalaman untuk mentadbir kerajaan," katanya.

-- BERNAMA