KUALA LUMPUR :Kerajaan kesal dengan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang sekali lagi menyekat kemasukan minyak sawit Malaysia ke negara itu selepas tindakan sama dikenakan terhadap FGV Holdings Bhd (FGV) sebelum ini.

Terbaharu, sekatan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS terhadap produk sawit Sime Darby Plantation Berhad (SDP) dibuat atas alasan serupa iaitu dakwaan penggunaan buruh paksa dalam industri terbabit.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan drastik CBP yang tidak memberi peluang kepada syarikat itu untuk menjelaskan situasi sebenar.

“Dalam isu terbaharu yang melibatkan satu lagi syarikat iaitu SDP, kementerian yakin mereka juga akan membantah dan menolak dakwaan tidak berasas tersebut.

“Kementerian berpandangan bahawa pihak CBP AS sememangnya berhak untuk mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas eksport minyak sawit oleh mana-mana negara ke negara berkenaan.

“Walau bagaimanapun, KPPK tidak bersetuju dengan tindakan drastik yang dibuat oleh AS tanpa memberi peluang terlebih dahulu kepada syarikat untuk membuktikan bahawa dakwaan yang dilemparkan mungkin tidak berasas sama sekali,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

CBP kenakan larangan produk Sime Darby Plantation

Tambah beliau, berdasarkan kajian yang pernah dilaksanakan pada tahun 2018, kementerian mengakui pernah berlaku isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak di sektor perladangan sawit negara namun kes terbabit amat terpencil.

Jelasnya, hasil kajian itu juga telah dihantar kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada awal bulan lalu.

“Berdasarkan kajian tersebut juga, kerajaan sentiasa memberi peringatan kepada pihak industri supaya lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam isu yang boleh menjejaskan ekonomi negara ini.


Perjelas perbezaan budaya dalam industri sawit

“Bagaimanapun kerajaan Malaysia melalui KPPK komited sekiranya tuduhan yang dibuat oleh pihak AS ini adalah benar, tindakan sewajarnya dan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat yang terlibat dalam isu buruh paksa ini,” ujarnya.

Astro AWANI pada Rabu melaporkan, CBP mengenakan sekatan terhadap minyak sawit dan produk lain yang dikeluarkan SDP dan syarikat subsidiarinya.

BACA: CBP Amerika Syarikat kenakan larangan produk sawit Sime Darby

Dalam satu kenyataan, CBP memaklumkan pengeluaran perintah sekatan itu berdasarkan maklumat bahawa syarikat tersebut mempunyai 11 tanda buruh paksa yang ditetapkan oleh Organisasi Buruh Antarabangsa.

CBP pada masa sama memaklumkan pegawainya di semua pelabuhan masuk AS akan menahan minyak sawit dan sebarang produk yang mengandungi minyak sawit yang dihasilkan oleh SDP dan entiti berkaitan di Malaysia.

Julai lalu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antipemerdagangan manusia yang berpusat di Hong Kong mengemukakan petisyen terhadap Sime Darby atas dakwaan mengerah tenaga buruh paksa.

Petisyen yang dikemukakan Liberty Shared itu diajukan kepada CBP mendesak agar import barangan produk sawit dilarang.