KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bahawa kebimbangan komuniti perniagaan sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan yang jelas dipaparkan menerusi keputusan yang telah serta bakal diambil.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan juga bersedia mendengar isu membabitkan masyarakat itu, terutama berkaitan usaha pembukaan semula ekonomi susulan pandemik COVID-19.

"Saya secara peribadi, menghargai usaha komuniti perniagaan yang berperanan aktif dan bekerjasama dengan kementerian untuk membentuk jawatankuasa menasihati kerajaan dalam penyediaan prosedur operasi standard (SOP) sektor runcit selain menyediakan sumber dan tenaga kerja bagi memastikan pematuhannya.

"Kerajaan tidak mungkin dapat melaksanakannya secara berkesan tanpa penglibatan komuniti perniagaan," katanya ketika berucap pada majlis Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) di sini, pada malam Ahad.

Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa mengalu-alukan sebarang saranan dan kritikan membina daripada pihak perniagaan membabitkan impak pandemik itu dan yang berkaitan dengan perdagangan domestik.

"KPDNHEP menyedari keperluan untuk mencari keseimbangan dalam menangani kebimbangan mengenai kesejahteraan rakyat serta perniagaan. Malah, jika tidak ditangani secara berkesan, ini boleh menjejaskan ekonomi, menyebabkan rakyat kehilangan kerja dan syarikat terpaksa ditutup," katanya.

-- BERNAMA