Skip to main content

Bisnes

Kertas putih Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang dijangka siap akhir Julai atau awal Ogos – Chow

GEORGE TOWN, June 18 -- Penang Chief Minister Chow Kon Yeow deliveres his keynote address at the Penang Economic Forum 2026 here today.  The one day forum jointly organised by RHB Banking Group, Penang Institute and the Ministry of Entrepreneur Development and Cooperatives.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Chow ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Pulau Pinang 2026 di sini hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

GEORGE TOWN: Pulau Pinang meneruskan perancangan penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan lebih banyak syarikat tempatan bertaraf juara, dengan kertas putih inisiatif itu dijangka siap menjelang akhir Julai atau awal Ogos tahun ini

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dokumen berkenaan akan menyediakan kerangka pembangunan yang komprehensif bagi pusat itu, selain menggariskan langkah pelaksanaan untuk merealisasikan inisiatif tersebut.

“Jika kita benar-benar serius untuk melahirkan syarikat tempatan bertaraf juara, kita juga perlu membangunkan infrastruktur kewangan yang membolehkan mereka berkembang. Sebab itulah kita meneruskan pembangunan PIFC.

“Syarikat berpertumbuhan tinggi memerlukan lebih daripada pembiayaan konvensional. Mereka memerlukan akses kepada modal teroka, ekuiti persendirian, rangkaian pelaburan rentas sempadan serta kepakaran pasaran modal,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Pulau Pinang 2026 di sini hari ini.

Forum sehari itu dianjurkan bersama oleh Kumpulan Perbankan RHB dan Penang Institute.

Chow berkata PIFC bertujuan menarik aliran masuk modal, menyokong ekosistem teknologi Pulau Pinang serta menyediakan akses yang lebih luas kepada perniagaan tempatan untuk mendapatkan pembiayaan dan khidmat nasihat bagi membolehkan mereka berinovasi, mengembangkan operasi ke peringkat antarabangsa dan seterusnya disenaraikan di bursa.

Beliau berkata Pulau Pinang menempatkan lebih 6,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkaitan pembuatan serta lebih 350 syarikat multinasional, dengan banyak syarikat tempatan kini telah menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global.

Namun, cabaran seterusnya ialah membantu PKS bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai melalui penghasilan inovasi, pemilikan harta intelek, peningkatan daya saing di peringkat antarabangsa serta akses yang lebih baik kepada pasaran modal.

“Sehingga 17 Mei 2026, Pulau Pinang hanya mempunyai 106 syarikat tersenarai awam. Bagi sebuah negeri yang menyumbang secara signifikan kepada eksport dan output pembuatan Malaysia, saya percaya kita mampu mencapai lebih daripada itu.

“Setiap syarikat tersenarai yang berjaya bermula sebagai PKS. SkyeChip, Pentamaster, ViTrox atau syarikat teknologi serantau yang seterusnya mungkin berada dalam kalangan hadirin di dewan ini hari ini,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement