KEPUTUSAN pengeluar kereta German, Porsche AG memilih Malaysia sebagai lokasi pengeluaran pertamanya di luar Eropah, pasti membuatkan penggemar jenama mewah ini teruja. 

Pasti ramai yang menjangkakan model-model baharu keluaran gergasi auto itu akan lebih bersifat mampu milik.

Berdasarkan laporan portal The Edge, syarikat yang berpangkalan di Stuttgart itu bakal menjalinkan kerjasama dengan Inokom milik syarikat Sime Darby Bhd, yang telah menjalankan operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk beberapa pengeluar automotif termasuk BMW serta Hyundai dan Mazda di Kulim, Kedah, sebelum ini.

Hasil kerjasama ini bakal menyumbang kepada faktor pengeluaran yang lebih efektif dalam aspek kos serta meliputi spesifikasi dan peratusan komponen menggunakan sumber tempatan dengan tawaran insentif dan struktur cukai yang bersesuaian dengan situasi ekonomi semasa.

Bayangkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Porsche Cayenne, yang menjadi model pertama CKD di Malaysia, Sewaktu ia mula dilancarkan, jenama itu menawarkan harga bermula RM550,000. Model ini akan mula dibuat penghantaran kepada pembeli bermula Mac 2022, dengan pengurangan harga sehingga 10-15 peratus daripada harga Cayenne sebelum ini. 

Malah, untuk harga yang tidak melebihi RM600,000 sekali pun, penggemar jenama ini tidak perlu gusar kerana ia tetap didatangkan dengan aksesori standard yang dipertingkat secara eksklusif untuk disesuaikan dengan pasaran tempatan. 

Model ‘entry level’ Porsche Macan yang dilengkapi enjin 2.0 liter dapat dimiliki dengan harga bermula RM439,351, selepas pengecualian SST.


TERNYATA MAMPU MILIK

Model yang baharu ini diperkenalkan sebagai kereta paling mampu milik dalam rangkaian Sime Darby Auto Performance (SDAP) dan dilaporkan paling laris dalam kalangan jenama mewah itu, menjadikannya model ini ideal dalam penghasilan CKD.

Ambil contoh dua model yang kini sudah berada di pasaran sebagai model CKD termasuk Mercedes Benz GLC300 AMG Line kini berharga RM340,157 dan BMW M340i xDrive dalam M Performance yang berharga RM402,354 selepas pengecualian SST.

Kedua-dua model ini memberi petunjuk bahawa Porsche Macan juga mungkin akan dijual pada harga yang tidak jauh bezanya iaitu dalam lingkungan harga RM380,000 sehingga RM400,000 dan ini adalah harga selepas pengurangan sehingga 10-15 peratus di bawah CKD.

BACA: Sime Darby jangka permintaan untuk kereta mewah kekal kukuh 

BACA: Porsche dilapor bakal buka kilang di Kedah 


Anda juga pasti pernah mendengar model Porsche Panamera, ketika pasaran Malaysia mendapat pelepasan cukai GST yang pertama pada 2018, harga Porsche Panamera diturunkan sejumlah RM88,000.

Jika jumlah itu boleh dikeluarkan melalui pelepasan cukai sahaja, pastinya varian CKD akan memberikan lebih banyak kelonggaran untuk rakyat kita menikmati keselesaan teknologi Porsche dengan harga yang masih boleh didengari. 

Model yang paling hampir untuk dibuat perbandingan dengan model paling asas Panamera (2.9 liter) ialah Mercedes Benz W222 S-Class, yang dijual menerusi pemasangan tempatan dan boleh dibeli di bawah harga RM700,000 dengan diskaun SST.

Di Jerman, harga Panamera bermula pada €93,707 (RM432,795) serta W223 S450L baharu dijual dengan harga yang lebih tinggi iaitu €107,338 (RM495,751). 

Walaupun S-Class baharu dijangka diletakkan pada harga yang lebih tinggi apabila dilancarkan di Malaysia, prospek Panamera CKD yang berharga RM700,000 (sebelum tambahan aksesori); mungkin berbeza dan mampu dimiliki dengan harga lebih renadh, sekiranya Porsche memutuskan untuk mengeluarkan model E-Hybridnya di Malaysia, sebagai saingan untuk Merc S560e dan BMW 740Le. 

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa senarai harga ini adalah sekadar ramalan dan ia tidak lagi ditetapkan oleh Porsche.