KUALA LUMPUR: Konflik berterusan di Asia Barat memberi tekanan kepada industri penerbangan glonal apabila syarikat penerbangan berhadapan dengan kenaikan harga bahan api jet, perubahan laluan penerbangan dan kos operasi yang lebih tinggi, kata seorang penganalisis.
Pengasas Endau Analytics Shukor Yusof berkata setakat ini syarikat penerbangan berjaya menangani situasi tersebut.
Bagaimanapun, katanya, ketidaktentuan yang berpanjangan sudah mula menjejaskan operasi perniagaan, terutamanya bagi syarikat penerbangan yag mempunyai kedudukan kewangan yang lebih lemah.
“Situasi sekarang masih tidak menentu, tetapi pasaran penerbangan dapat mengatasinya dengan baik.
“Kita sedang berhadapan dengan kekurangan bahan api jet yang keluar dari Selat Hormuz. Situasi ini masih tegang, dan syarikat penerbangan terutamanya, amat terkesan kerana bahan api jet telah meningkat ke tahap yang tidak pernah berlaku sejak bertahun-tahun lamanya.
“Syarikat penerbangan menghadapi cabaran besar yang diakibatkan beberapa faktor. Mereka terpaksa menaikkan tambang, menguruskan kekurangan, dan paling penting, menangani kenaikan harga yang berterusan.
“Bahan api jet, yang boleh menyumbang sehingga 40 peratus daripada kos operasi sesebuah syarikat penerbangan, adalah penyumbang utama kepada isu ini,” katanya dalam program hal ehwal semasa dan bual bicara Bernama TV iaitu Bernama World, bertajuk “Konflik Asia Barat: Kesan terhadap Industri Penerbangan”, hari ini.
Shukor berkata banyak syarikat penerbangan telah menyesuaikan model perniagaan mereka untuk menampung penumpang yang menempah tiket sebelum konflik bermula, sementara beberapa laluan antarabangsa, khususnya yang melibatkan Eropah, telah mengalihkan laluannya bagi mengelak ruang udara Iran.
Beliau berkata syarikat penerbangan Asia Tenggara, termasuk Malaysia Airlines, sedang menilai dan menjajarkan semula operasi mereka di Eropah sebagai tindak balas terhadap risiko geopolitik yang sentiasa berubah.
Sementara itu, syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dengan sokongan kewangan yang lebih kukuh berada dalam kedudukan yang jauh lebih baik untuk mengharungi gangguan yang berpanjangan berbanding syarikat penerbangan tambang rendah.
“Industri penerbangan sering berhadapan dengan cabaran yang paling hebat, dan semakin kukuh kewangan anda, maka anda mempunyai peluang yang lebih baik untuk bertahan lebih lama daripada pesaing anda,” kata Shukor.
Mengulas lanjut, beliau berkata syarikat penerbangan yang disokong oleh pemegang saham atau dana kekayaan negara lebih cenderung untuk bertahan dalam ketidakstabilan berpanjangan di rantau Teluk, manakala syarikat penerbangan lebih kecil dengan aliran tunai yang lebih lemah berhadapan risiko yang lebih besar.
Walaupun terdapat kebimbangan mengenai gangguan di Selat Hormuz, Shukor menekankan bahawa pasaran global tidak berdepan kekurangan bahan api jet, tetapi sebaliknya krisis harga yang didorong oleh cabaran logisitk dan ketidaktentuan geopolitik.
Beliau berkata harga bahan api jet telah melonjak setinggi AS$200 setong sebelum susut kepada sekitar US$145 hingga US$150, tetapi masih hampir dua kali ganda daripada paras sebelum konflik itu semakin memuncak.
“Tidak ada kekurangan dalam bahan api jet atau minyak mentah. Masalahnya ialah harga dan logistik pengangkutan bekalan ke seluruh dunia,” katanya.
-- BERNAMA