Skip to main content

Dunia

68 juta tan sisa runtuhan cetus bencana alam sekitar dan kemanusiaan di Gaza - Pihak berkuasa Palestin

Pihak berkuasa Palestin memberi amaran bahawa Semenanjung Gaza berdepan bencana alam sekitar dan kemanusiaan susulan serangan Israel yang mengakibatkan sehingga 68 juta tan sisa runtuhan. - Gambar fail/Reuters
Pihak berkuasa Palestin memberi amaran bahawa Semenanjung Gaza berdepan bencana alam sekitar dan kemanusiaan susulan serangan Israel yang mengakibatkan sehingga 68 juta tan sisa runtuhan. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

RAMALLAH/ISTANBUL: Pihak berkuasa Palestin memberi amaran pada Jumaat  bahawa Semenanjung Gaza berdepan bencana alam sekitar dan kemanusiaan susulan serangan Israel yang mengakibatkan sehingga 68 juta tan sisa runtuhan, lapor Anadolu Ajansi.

Pihak Berkuasa Kualiti Alam Sekitar Palestin mengeluarkan amaran itu menerusi satu kenyataan sempena Hari Antarabangsa bagi Mencegah Eksploitasi Alam Sekitar dalam Perang dan Konflik Bersenjata, yang disambut setiap tahun pada 6 Nov.

Sebanyak 61 juta hingga 68 juta tan sisa runtuhan terkumpul di seluruh Gaza akibat kemusnahan yang dilakukan Israel, termasuk kira-kira empat juta tan sisa berbahaya dan sekurang-kurangnya 50,000 tan asbestos, iaitu bahan berserat penyebab kanser yang sebelum ini digunakan secara meluas dalam pembinaan dan penebatan, menurut pihak berkuasa itu.

Advertisement

Serangan Israel memusnahkan 82 peratus kawasan pertanian Gaza, 97 peratus pokok zaitun dan pokok buah-buahan lain serta 84 peratus infrastruktur bekalan air dan pembetungan.

Kemusnahan infrastruktur sanitasi menyebabkan kira-kira 120,000 meter padu air sisa yang tidak dirawat dilepaskan setiap hari ke jalan raya dan kawasan takungan air di seluruh Gaza, katanya.

Advertisement

Sejak Oktober 2023, serangan genosid Israel di Gaza meragut nyawa lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 175,000 yang lain, selain mengakibatkan kemusnahan besar-besaran infrastruktur awam.

Pihak berkuasa itu turut merekodkan 760 serangan Israel yang menjejaskan alam sekitar di seluruh Tebing Barat yang diduduki dari awal 2026 hingga akhir September, dengan menyasarkan kawasan pertanian, tumbuh-tumbuhan, sumber air dan infrastruktur.

Menurut pihak berkuasa itu, sebanyak 203 serangan menyasarkan kawasan pertanian dan rizab alam semula jadi, termasuk kerja meratakan kebun zaitun menggunakan jentolak, pembinaan jalan petempatan haram serta perampasan tanah rakyat Palestin bagi tujuan ketenteraan dan pembinaan petempatan.

Sebanyak 178 lagi serangan menyasarkan hutan dan kawasan tumbuh-tumbuhan, termasuk tindakan mencabut ribuan pokok, antaranya kira-kira 100,000 pokok zaitun, dengan kerugian dianggarkan sebanyak AS$67 juta, menurut kenyataan itu.

Pihak berkuasa itu turut merekodkan 185 insiden membabitkan sisa buangan dan runtuhan berbahaya akibat kerja perobohan, 52 serangan yang menjejaskan keselamatan makanan dan sektor penternakan, 37 serangan terhadap sumber air dan telaga, 35 serangan terhadap saluran paip air dan rangkaian pengairan serta lima insiden membabitkan sistem pembetungan.

Pihak berkuasa itu menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan bagi menghentikan pelanggaran itu serta membolehkan rakyat Palestin mengawal dan melindungi sumber alam semula jadi mereka.

Serangan tentera Israel dan keganasan peneroka terhadap rakyat Palestin serta harta benda mereka di Tebing Barat yang diduduki semakin meningkat sejak bermulanya serangan di Gaza, termasuk pembunuhan, penahanan, perobohan, kemusnahan harta benda, kerja meratakan tanah menggunakan jentolak, pemindahan penduduk dan peluasan petempatan haram.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement