Ringkasan AI
- Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan semua PBT melaksanakan penguatkuasaan terhadap rumah sembelihan ayam tidak berlesen di negeri itu.
- Penguatkuasaan menyasarkan premis tanpa lesen dan penyembelih bertauliah, dengan tindakan penutupan atau perobohan mengikut perundangan berkuat kuasa.
- Orang ramai dinasihatkan membeli ayam dari premis bersijil halal sah dan melaporkan premis tidak berlesen kepada PBT atau JAIS.
SHAH ALAM: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu segera melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha rumah sembelihan ayam tidak berlesen.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, penguatkuasaan itu menyasarkan premis penyembelihan ayam yang beroperasi tanpa lesen daripada PBT dan tidak mempunyai penyembelih bertauliah.
“Tindakan penguatkuasaan ini harus mengikut asas-asas perundangan yang berkuat kuasa, supaya premis-premis ini ditutup dan jika bersesuaian, dirobohkan sepenuhnya.
“Ini akan memastikan tiada bekalan ayam mentah tidak halal memasuki pasaran yang menjadi kebimbangan umat Islam di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohammad Fahmi turut menasihatkan orang ramai khususnya umat Islam untuk membeli ayam mentah atau dimasak daripada premis-premis yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sah.
Beliau berkata, lokasi premis memiliki SPHM sah boleh disemak di portal halal Malaysia, www.halal.gov.my dan masyarakat boleh melaporkan premis sembelihan ayam disyaki tidak berlesen kepada PBT atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Kerajaan Negeri Selangor terus komited untuk memastikan bekalan ayam halal dapat dibekalkan secara berterusan dengan harga yang berpatutan kepada rakyat negeri ini,” katanya.
-- BERNAMA