Kos perjalanan lebih rendah, BUDI95 ringankan beban

Inisiatif BUDI95 berkuat kuasa pada 30 September 2025, dengan subsidi petrol RON95 mula diperluaskan kepada semua rakyat Malaysia yang layak. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Inisiatif Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI95) disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang bakal membuat perjalanan jauh untuk menyambut perayaan bersama keluarga.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja melegakan beban kos bahan api harian, malah dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, sekali gus memberi kesan positif kepada perbelanjaan isi rumah.

Dari kiri: Hanu; Mohd Hafis; dan Nurul Asmilah.
"Setiap tahun walaupun bajet agak ketat, kami sekeluarga akan balik ke Johor Bahru untuk sambut Deepavali.
"Kalau harga minyak naik, kos perjalanan boleh cecah ratusan ringgit. Subsidi ini sangat membantu, terutama bila banyak barang lain dah naik harga," katanya yang tinggal di Klang.
Jelasnya, jarak perjalanan pergi balik dari Klang ke Johor Bahru dianggarkan sejauh 660 kilometer (km).
"Tanpa BUDI95, saya membayar lebih kurang RM176 kos bahan api pergi balik dan dengan subsidi anggaran RM112.75 kos dikeluarkan.
"Ini memberi penjimatan lebih RM60 untuk perjalanan pulang ke kampung sempena Deepavali, satu jumlah yang signifikan terutama bagi keluarga berpendapatan sederhana" jelasnya.
Sementara itu, Perunding Hartanah, Mohd Hafis Shahar berpendapat bantuan subsidi seperti itu wajar dikekalkan bagi musim perayaan kerana ia memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
"Musim perayaan melibatkan mobiliti tinggi dan perbelanjaan luar biasa lebih lagi bagi memiliki keluarga besar.
"Selain melegakan beban kos bahan api harian, subsidi ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat untuk membawa keluarga bercuti sempena perayaan Deepavali bakal menjelang.
"Penjimatan dari kos bahan api boleh digunakan untuk kos penginapan atau belanja keluarga makan," katanya.
Bagi seorang lagi pengguna, Nurul Asmilah Ibrahim, bantuan tunai menerusi BUDI95 memberi kelegaan kepada golongan B40 dan M40.
Katanya, bantuan bulanan ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengimbangi kos bahan api yang meningkat.
"Keluarga masih menerima bantuan tunai bulanan sekitar RM200 untuk isi rumah, menjadikan perjalanan ini pada dasar ditanggung sebahagiannya oleh subsidi ini.
"Ketika rakyat membuat persiapan menyambut perayaan dan melancong dalam negara, BUDI95 memberi ruang kepada keluarga berjimat, tanpa perlu mengorbankan aktiviti bersama orang tersayang," kata Nurul Asmilah.
Inisiatif BUDI95 berkuat kuasa pada 30 September 2025, dengan subsidi petrol RON95 mula diperluaskan kepada semua rakyat Malaysia yang layak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami