PULAU PINANG: KPJ Healthcare Berhad melancarkan Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi pertama di KPJ Penang Specialist Hospital, sekali gus menjadi pusat kecemerlangan ketiga di bawah KPJ Health System (KPJHS) dalam usaha memperkukuh perkhidmatan penjagaan muskuloskeletal dan sendi.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, KPJ Healthcare berkata pusat berteraskan teknologi dan kepakaran multidisiplin itu menghimpunkan pelbagai subkepakaran ortopedik, reumatologi serta rehabilitasi di bawah satu bumbung bagi menyediakan rawatan yang lebih terselaras, merangkumi proses diagnosis, pembedahan hingga pemulihan pesakit.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk ortopedik am, pembedahan tulang belakang, penggantian sendi, artroskopi, pembedahan sukan, pembedahan kaki dan tangan, ortopedik pediatrik, pengurusan trauma, reumatologi serta pengurusan kesakitan.
Menurut kenyataan itu, kemudahan berkenaan turut dilengkapi teknologi robotik berasaskan kecerdasan buatan (AI), sistem navigasi komputer dan teknik pembedahan invasif minimum bagi meningkatkan ketepatan prosedur, mempercepat proses pemulihan serta membantu pesakit memperoleh semula mobiliti dengan lebih berkesan.
Selain itu, pusat berkenaan menawarkan program rehabilitasi yang disesuaikan mengikut keperluan pesakit, termasuk bagi kes pembedahan tulang belakang, kecederaan sukan dan ortopedik pediatrik dengan sokongan teknologi seperti mesin treadmill anti-graviti.
Pengerusi Majlis Tadbir Urus KPJ Health System yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata aspirasi KPJ bukan sekadar menubuhkan pusat kecemerlangan, sebaliknya membangunkannya menjadi institut bertaraf dunia yang menerajui bidang klinikal, akademik dan penyelidikan.
“Aspirasi kami bukan sekadar menubuhkan pusat kecemerlangan, tetapi membangunkannya sehingga menjadi institut bertaraf dunia yang menjadi rujukan dalam bidang kepakaran masing-masing.
“Kami mahu setiap institut menerajui penerbitan penyelidikan berimpak tinggi, melahirkan pemimpin klinikal dan akademik di peringkat kebangsaan serta antarabangsa, selain menjadi rakan strategik pilihan kepada industri, institusi akademik dan kerajaan.
“Inisiatif ini juga selaras dengan strategi jangka panjang KPJ Healthcare untuk mewujudkan 15 Pusat Kecemerlangan di seluruh negara menjelang 2030, sekali gus memperkukuh sistem kesihatan akademik bersepadu yang mampu menyediakan rawatan bertaraf dunia kepada rakyat,” katanya.
Melalui model hab bersepadu yang diterajui KPJ Penang Specialist Hospital bersama KPJ Selangor Specialist Hospital, pusat itu dijangka memudahkan perkongsian kepakaran, penyelidikan dan penyeragaman piawaian klinikal.
Pada masa sama, ia berfungsi sebagai platform untuk mengintegrasikan teknologi AI, genomik dan penjagaan berasaskan nilai dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Hospital itu kini sedang membangunkan program telepenjagaan luka jarak jauh pertama di Malaysia yang dipacu teknologi AI dengan kerjasama KPJ Healthcare University.