KUALA LUMPUR: Kreativiti rakyat negara ini menukar kepenggunaan internet dengan lebih efektif untuk belajar, mengembangkan perniagaan selain berhubung dengan insan tersayang.

Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo menjelaskan, dapatan data daripada laporan e-economy pihaknya mendapati kepenggunaan digital dan internet akan kekal tinggi walaupun selepas pandemik.

"Izinkan saya mendedahkan sedikit dapatan, pertama satu pertiga rakyat negara ini mencuba servis digital untuk kali pertama dan majoriti daripada mereka (92 peratus) akan meneruskan penggunaannya selepas pandemik berakhir. E-commerce, penghantaran makanan, sikap itu akan kekal walaupun tiada pandemik lagi.

"Kedua, hampir 60 peratus pengguna baru ini adalah dari kawasan bukan bandar, dan ini melambangkan hubungan erat sikap pengguna dan potensi besar ekonomi digital di luar Lembah Klang," katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Dalam pada itu katanya, Google menyasarkan untuk menyokong dan menjadikannya realiti bersama.

Ujarnya, ia akan melibatkan semua termasuk kumpulan mikro perusahaan kecil dan sederhana, peniaga wanita, pelbagai komuniti demi mendedahkan kemahiran betul penggunaan digital kepada mereka.

Jelas Marc lagi, Google sendiri menyediakan pelbagai aplikasi dalam membantu pengusaha kecil dan sederhana di negara ini.

Katanya, pengembangan tujuh peratus sektor e-dagang dari tahun ke tahun merupakan terpantas di Malaysia berbanding negara lain di Asia Tenggara.

Tambahnya, beberapa aplikasi percuma yang ditawarkan Google kepada kumpulan ini membantu mengembangkan skop perniagaan, capaian pelawat sekali gus meningkatkan hasil jualan masing-masing.