KUALA LUMPUR: Selaku sebuah syarikat peneraju dalam kejuruteraan dan pembangunan hartanah Gamuda Bhd (Gamuda) hari ini mengumumkan peluasan kerjasama yang lama terjalin dengan Google Cloud untuk menjadikan keupayaan Generatif Kecerdasan Buatan (GenAI) gred-perusahaan boleh diakses dan bermanfaat kepada setiap pekerjanya.

Kerjasama ini memperkasakan pekerja Gamuda untuk menjadi lebih efisien dan inovatif dalam menyampaikan projek kejuruteraan, pembinaan dan infrastruktur awam di rantau ini.

Setelah membina sebuah platform data seragam dan memodenkan beban kerjanya di Google Cloud, Gamuda mengukuhkan komitmennya untuk pendigitalan dan memperhalusi landskap pembinaan dengan GenAI.

Ketua Pegawai Digital Kumpulan Gamuda Bhd John Lim Ji Xiong berkata kerjasama dengan Google Cloud bukan sahaja mengubah bagaimana projek infrastruktur mereka dibina, tetapi juga meningkatkan minat dalam kalangan pihak berkepentingan merentasi projek-projek di Malaysia, Australia, Taiwan, Vietnam, Singapura dan industri yang lebih meluas.

"Beberapa pelanggan kami baru-baru ini memilih sistem kami daripada sistem tradisional mereka dan dengan penerimaan teknologi, kami juga sedang merintis laluan kerjaya digital yang menyeronokkan untuk jurutera kami," katanya dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan Gamuda Bhd dan Google Cloud di Petaling Jaya dekat sini hari ini.

Gamuda yang mempunyai rekod prestasi cemerlang dengan pencapaian inovatif seperti reka bentuk inovatif Terowong SMART, projek dwiguna jalan raya dan pengurusan air hujan serta Mesin Korek Terowong Berautonomi (A-TBM) pertama di dunia telah meluaskan batasan apa yang boleh dilakukan dengan menggunakan teknologi secara konsisten.

Beliau berkata pencapaian ini merupakan peralihan penting daripada amalan tradisional ke arah merintis wawasan digital-dan-kejuruteraan dipacu AI serta kecemerlangan pembinaan.

Sementara itu, Pengurus Kawasan Google Cloud Malaysia Patrick Wee menzahirkan keterujaannya untuk menyokong kemajuan Gamuda yang diperkasakan dengan GenAI dalam keseluruhan projek serantaunya.

"Pembinaan secara tradisionalnya merupakan sebuah industri intensif buruh dan proses dengan kitaran projek yang panjang tetapi Gamuda dengan pantas mengubah paradigma ini dengan mengguna pakai pendigitalan GenAI di Google Cloud.

Penstriman pelbagai data mereka untuk menyelesaikan cabaran dalam dunia sebenar sementara menjimatkan masa dan kos serta mereka menetapkan satu contoh hebat untuk perusahaan yang mencari inovasi pantas menerusi pertumpuan infrastruktur, analisis data, keselamatan dan kecerdasan buatan (AI)," katanya.

Kenyataan itu menjelaskan dengan lanjut bahawa pusat kepada transformasi ini ialah Hab Inovasi Gamuda, satu inisiatif jangka panjang yang memupuk budaya pembelajaran dan pengujikajian berterusan, menyemaikan kecekapan dalam teknologi Google Cloud.

Hab berkenaan telah meningkat kemahiran tenaga kerja Gamuda, mengubah satu pasukan dengan 50 jurutera daripada latar belakang industri tradisional kepada arkitek cloud, jurutera data dan jurutera perisian dan jurutera AI.

"Dilengkapkan dengan kemahiran untuk memanfaatkan koleksi peralatan intuitif Google Cloud, jurutera ini membangunkan sistem mengikut tempahan yang diintegrasi dengan lancar ke seluruh projek Gamuda

Komitmen ini untuk memupuk bakat dalaman memastikan tenaga kerja yang bukan hanya memiliki kepakaran teknologi tetapi juga pemahaman mendalam tentang keperluan industri, yang mendorong inovasi pantas," menurut kenyataan itu.

Satu lagi contoh utama ialah platform data seragam yang menyediakan reka bentuk, kejuruteraan, kewangan, rantaian bekalan dan pasukan operasi lapangan Gamuda dengan perspektif aliran kerja yang komprehensif dan masa nyata.

Ini juga membolehkan kejayaan penghijrahan sistem perancangan sumber perusahaan SAP Gamuda daripada Amazon Web Services kepada Google Cloud, dan pelaksanaan Pusat Kawalan Keselamatan Google Cloud untuk satu lapisan tambahan keselamatan siber.

"Menggabungkan set data yang sedang meningkat daripada aliran kerja ini dengan GenAI gred-perusahaan Google Cloud akan memperkasakan pembuatan keputusan dipacu data yang tangkas merentasi projek infrastruktur serantau jangka panjang yang kompleks.

Penggunaan keupayaan GenAI tidak terhad kepada beberapa keupayaan terpilih tetapi platform Vertex AI Google Cloud telah membolehkan Gamuda untuk mencipta peralatan untuk setiap orang dalam ekosistem projeknya," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA