Skip to main content

Bisnes

Lebih 38 peratus perniagaan di Malaysia guna alat AI - AWS

51709879380_TBartificialintelli.jpg
Lebih 38 peratus perniagaan di Malaysia kini memanfaatkan sekurang-kurangnya satu alat teknologi kecerdasan buatan (AI) berbanding 27 peratus pada 2025, demikian menurut Amazon Web Services (AWS).
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lebih 38 peratus perniagaan di Malaysia kini memanfaatkan sekurang-kurangnya satu alat teknologi kecerdasan buatan (AI) berbanding 27 peratus pada 2025, demikian menurut Amazon Web Services (AWS).

Menerusi laporan bertajuk Unlocking Malaysia’s AI Potential 2026, cabang syarikat Amazon.com itu memaklumkan, hampir sejuta lagi perniagaan menggunakan AI sepanjang 2025 iaitu hampir dua perniagaan bagi setiap minit yang menjadikan keseluruhannya melebihi 3.4 juta.

“Bagaimanapun, penggunaan itu tidak setara perkembangannya: Sebanyak 67 peratus perniagaan yang menggunakan AI masih menumpukan aplikasi asas seperti chatbot awam bagi tujuan tugasan rutin atau alat sedia ada bagi memperkemas proses manakala hanya 19 peratus perniagaan mempunyai strategi rasmi untuk memperluaskan penggunaan AI yang merentasi pelbagai fungsi,” menurutnya.

AWS juga menyifatkan sebahagian besar perniagaan tidak akan membangunkan keupayaan AI secara dalaman syarikat dengan lebih 57 peratus bertindak mendapatkan atau melakukan penyumberan keupayaan AI menerusi penyedia luar, perunding atau vendor perisian.

Sebagai perbandingan, sebanyak 69 peratus perniagaan mengakui kepentingan penyedia perisian dan pembangun penyelesaian AI berpangkalan di Malaysia dalam penggunaan AI masing-masing.

“Pada masa sama, penyedia dengan pengetahuan mendalam bagi sektor-sektor tertentu misalnya dapat menerapkan AI ke dalam aliran kerja biasa dan menyediakan keupayaan berkenaan kepada banyak organisasi lain. Ini sekali gus membantu menyebarkan kepakaran ke seluruh ekonomi,” menurut AWS.

Bagi sektor kewangan dan pengeluaran, AWS menyatakan pihak pengeluar terbabit juga positif mengenai potensi AS.

Namun dari segi penggunaan AI, banyak perniagaan masih kekal di peringkat awal: 57 peratus terus berada dalam usaha meninjau atau melakukan percubaan berbanding 34 peratus perniagaan perkhidmatan kewangan.

Perkembangan itu dicatatkan walaupun 80 peratus menjangkakan AI akan mengubah industri berkenaan.

“Kalangan pengeluar memberi alasan cabaran seperti halangan teknikal atau berkaitan data (44 peratus), keupayaan tenaga kerja (41 peratus) dan sumber  terhad (37 peratus).

“Hanya 15 peratus mempunyai strategi AI yang rasmi dan 13 peratus lain menganggap benar-benar bersedia untuk AI generasi akan datang yang membayangkan keperluan panduan khusus mengikut sektor,” menurutnya.

Bagi sektor perkhidmatan kewangan, laporan AWS menyatakan 64 peratus perniagaan telah bergerak melangkaui tahap percubaan manakala 42 peratus mempunyai strategi bagi memperluaskan lagi penggunaan AI.

Sektor itu turut menerajui dari segi tadbir urus iaitu 39 peratus mempunyai rangka kerja tadbir urus AI secara rasmi berbanding 24 peratus bagi keseluruhan perniagaan.

Industri itu juga beroperasi dalam antara persekitaran paling dikawal selia di Malaysia namun dapat mencapai kemajuan lebih ketara berbanding kebanyakan industri lain dalam aspek penerapan AI merentasi operasi perniagaan.

“Ini menunjukkan pelaburan dalam aspek tadbir urus dapat mempercepatkan berbanding mengekang kematangan AI. Pada masa sama, ini menjadi tanda aras kepada sektor lain. Perniagaan yang berhasrat untuk bergerak maju berbanding projek rintis, perlu mempertimbangkan elemen penyumberan tadbir urus menerusi pasukan khusus, alat dan sokongan daripada pihak pengurusan kanan,” menurut laporan itu.

Di samping itu, 72 peratus perniagaan pula memaklumkan penggunaan AI yang lebih meluas oleh sektor awam akan mendorong organisasi mereka untuk meningkatkan lagi penggunaan teknologi itu.

Hampir tiga perempat atau 74 peratus menyifatkan kepimpinan kerajaan sebagai penting dalam mempercepatkan penggunaan AI secara menyeluruh.

Penggunaan AI oleh sektor awam juga boleh meningkatkan keyakinan, memaparkan penerapan AI yang selamat dan bertanggungjawab serta menyediakan contoh praktikal untuk dicontohi pihak lain.

Sementara itu, Pengurus Negara AWS Malaysia, Hussein Mohd Ali berkata, kalangan penyedia yang menumpukan sektor dan menerapkan AI ke dalam alat perniagaan sedang digunakan, merupakan kaedah terpantas untuk menggerakkan keseluruhan ekonomi daripada proses percubaan kepada keupayaan sebenar.

“Tadbir urus serta kepimpinan sektor awam bukanlah sesuatu yang berasingan dan sebaliknya boleh menjadi perkara penting dalam memastikan momentum itu membawa manfaat,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement