KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan mengeluarkan notis berkenaan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat bagi semua baki saham dalam Boustead Plantations Bhd (BPlant) yang belum lagi berada dalam pegangan LTAT pada harga RM1.55.

Dalam satu kenyataan hari ini, LTAT berkata langkah itu dilaksanakan selepas memeterai perjanjian penjualan saham tanpa syarat dengan Boustead Holdings Bhd (BHB) bagi mengambil alih 739,199,966 saham BPlant yang mewakili 33 peratus jumlah saham terbitan BPlant.

"Berikutan pengambilalihan yang dinyatakan di atas, LTAT memegang 976,406,066 saham dalam BPlant, mewakili 43.59 peratus daripada jumlah saham terbitan BPlant," katanya.

LTAT berkata tawaran itu merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam keseluruhan penstrukturan dan pemulihan kumpulan syarikat BHB dan dalam mengimbangi semula portfolio pelaburannya untuk meletakkan dana dengan lebih baik berbanding profil risiko pulangan.

"Tawaran itu juga memberikan LTAT lebih fleksibiliti dalam menetapkan hala tuju strategik BPlant dan mempercepatkan rancangan penciptaan nilai yang memenuhi objektif LTAT.

"Dana itu kekal teguh dalam meningkatkan kualiti asetnya untuk memberikan pulangan yang mampan kepada pencarumnya, selaras dengan Pelan Strategik LTAT 2023-2025," katanya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, BPlant berkata ia menerima notis tawaran pengambilalihan mandatori tidak bersyarat daripada penasihat utama bersama, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd, untuk mengambil alih semua baki saham biasa BPlant yang belum lagi dipegang oleh LTAT.

"LTAT sebagai pihak yang membuat tawaran tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian BPlant. Oleh itu, LTAT tidak akan mengambil sebarang langkah berkaitan kekurangan dalam spread pegangan saham awam BPlant sekiranya BPlant tidak memenuhi Keperluan Spread Awam selepas tarikh tutup," kata notis itu.

Ia berkata tarikh tutup tidak boleh lewat daripada hari ke-60 daripada tarikh penghantaran kerana tawaran itu tidak bersyarat pada mana-mana tahap minimum penerimaan.

LTAT telah mengesahkan bahawa ia mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk memenuhi penerimaan penuh tawaran itu. Setiap pemegang yang menerima akan dibayar sepenuhnya secara tunai, katanya.

-- BERNAMA