Skip to main content

Malaysia

Ilmu tanpa adab dan integriti tidak beri manfaat kekal, titah Sultan Perak

Sultan Perak bertitah ilmu tanpa adab dan integriti boleh menjadi alat kepentingan diri, sambil mengingatkan graduan UIAM agar menghayati falsafah resmi padi dan berbakti kepada masyarakat. - Foto Astro AWANI
Sultan Perak bertitah ilmu tanpa adab dan integriti boleh menjadi alat kepentingan diri, sambil mengingatkan graduan UIAM agar menghayati falsafah resmi padi dan berbakti kepada masyarakat. - Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan ilmu tanpa adab, integriti dan kebijaksanaan boleh menjadi alat kepentingan diri serta gagal memberi manfaat.
  • Baginda mengingatkan graduan bahawa ijazah membawa tanggungjawab besar untuk menyumbang kepada kemanusiaan berlandaskan prinsip tauhid dan nilai universiti.
  • Sultan Nazrin menyeru graduan agar bersikap rendah diri, memanfaatkan ilmu untuk berbakti kepada masyarakat dan menjaga nama baik diri, keluarga serta universiti.
Advertisement

GOMBAK: Ilmu yang dikuasai tanpa adab, integriti dan kebijaksanaan boleh menjadi alat kepentingan diri serta gagal memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kali ke-42 di Kampus Gombak pada Sabtu, sambil merujuk amaran mendiang Tan Sri Profesor Syed Naquib Al-Attas mengenai kemerosotan ilmu apabila ia dipisahkan daripada adab dan tujuan asalnya.

"The accumulation of knowledge has not always been matched by a corresponding increase in wisdom," titah baginda pada istiadat konvokesyen tersebut.

Advertisement

Sultan Nazrin turut menegaskan bahawa keupayaan akademik dan kepakaran profesional perlu seiring dengan pertimbangan moral agar setiap keputusan memberi kesan yang adil kepada orang lain.

"Knowledge without integrity may become a tool for self-interest," tegas baginda dalam titah sama.

Advertisement

Kejayaan profesional dan amanah khalifah

Mengulas peranan graduan pascasiswazah, baginda menekankan bahawa ijazah sarjana dan doktor falsafah membawa tanggungjawab besar sebagai khalifah untuk menyumbang kepada kemanusiaan berteraskan prinsip tauhid dan motto universiti.

"Beyond an honor, a doctoral or master's degree carries a responsibility to ensure that the knowledge we cultivate is dedicated to the service of humanity," jelas Baginda dalam titah berkenaan.

Baginda menambah bahawa ukuran sebenar pendidikan tidak terletak semata-mata pada gelaran atau kedudukan selepas tamat pengajian, sebaliknya pada kebijaksanaan membuat keputusan dan kebaikan yang ditinggalkan.

"We must ask ourselves not only what can be achieved, but to what end and for whose benefit," titah baginda lagi.

Resmi padi dan semangat berbakti kepada masyarakat

Dalam titah Bahasa Melayu, Sultan Nazrin mengingatkan para graduan agar tidak bersikap angkuh dengan ilmu yang dimiliki, sebaliknya mengamalkan sikap rendah diri seperti resmi padi.

"Para graduan yang diraikan sekalian, ketinggian ilmu yang dimiliki tidak seharusnya menjadikan seseorang berhidung tinggi, apatah lagi sombong dan bongkak," katanya dalam titah penutup nasihat kepada graduan.

Baginda turut menyeru agar ilmu yang diperoleh dimanfaatkan untuk berbakti kepada masyarakat serta menjaga nama baik diri, keluarga dan universiti yang meraikan 5,489 graduan sepanjang konvokesyen kali ini.

"Sedarilah, semakin tinggi ilmu seseorang, semakin besar tanggungjawabnya untuk berbakti kepada masyarakat. Ikutilah resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk," tegas baginda.

 

Must Watch Video

Advertisement