Skip to main content

Malaysia

Pas MyKomuter50 jimatkan kos perjalanan pengguna kereta api

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan MyKomuter50 pada Program Yakin MADANI di Kompleks Belia dan Sukan Paroi hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan MyKomuter50 pada Program Yakin MADANI di Kompleks Belia dan Sukan Paroi hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Pas MyKomuter50 berharga RM50 membolehkan perjalanan tanpa had selama 30 hari bagi perkhidmatan KTM Komuter Utara, Lembah Klang dan Shuttle Selatan.
  • Inisiatif ini disambut baik pengguna kerana membantu menjimatkan kos pengangkutan bulanan, khususnya pelajar, pekerja dan pengguna tegar kereta api.
  • Pas ini terbuka kepada warganegara Malaysia berumur tujuh tahun ke atas, tertakluk kepada syarat kelayakan dan pengaktifan ditetapkan.
Advertisement

SEREMBAN: Pas MyKomuter50 berharga RM50 bagi perjalanan tanpa had selama 30 hari disambut baik pengguna kerana mampu menjimatkan kos pengangkutan, khususnya dalam kalangan pengguna tegar perkhidmatan kereta api.

Suri rumah Mazlina Abd Rahman, 55, berkata kemudahan itu memberi penjimatan kepada keluarga, terutama bagi urusan perjalanan anaknya yang menuntut di sebuah kolej di Pulau Pinang.

Beliau berkata pas berkenaan membolehkan anaknya pulang ke kampung dengan kos lebih rendah, berbanding tambang bas RM36 sehala sebelum ini.

Advertisement

“Saya seronok sangat sebab anak saya belajar di kolej di Pulau Pinang. Selalunya dia balik kampung naik bas dengan tambang RM36 sehala, tetapi sekarang kami boleh beli pas ini pada harga lebih murah dan anak boleh pulang dengan mudah,” katanya yang menetap di Paroi di sini.

Senada, penjawat awam Husna Abu Bakar, 34, menyifatkan pas berkenaan sebagai tawaran berpatutan, kerana membolehkan pengguna menikmati perjalanan tanpa had pada kos lebih rendah.

Advertisement

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan pelancaran MyKomuter50 sempena program Yakin MADANI “Memaknai Harapan Rakyat”, di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini.

Kemudahan itu memberi manfaat khususnya kepada pelajar dan pekerja yang berulang-alik setiap hari, sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan pengangkutan bulanan.

Sementara itu, pesara kerajaan Azlan Zainal Abidin, 68, berkata inisiatif berkenaan menyediakan pilihan lebih menjimatkan kepada orang ramai, terutama mereka yang kerap menggunakan perkhidmatan kereta api untuk urusan harian.

Beliau berkata tawaran pas pada harga berpatutan itu, mencerminkan usaha kerajaan memperluas akses kepada pengangkutan awam supaya dapat dinikmati lebih ramai golongan masyarakat.

“Inisiatif seperti ini memang baik kerana dapat membantu rakyat mengurangkan perbelanjaan perjalanan, terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

MyKomuter50 membolehkan pemegang pas menikmati perjalanan tanpa had selama 30 hari bagi perkhidmatan KTM Komuter Utara, KTM Komuter Lembah Klang dan Shuttle Selatan.

Pas itu terbuka kepada warganegara Malaysia berusia tujuh tahun dan ke atas, tertakluk kepada syarat kelayakan dan pengaktifan yang ditetapkan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement