Skip to main content

Malaysia

Kerajaan pastikan projek pembangunan Negeri Sembilan tidak terjejas - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan MyKomuter50 pada Program Yakin MADANI di Kompleks Belia dan Sukan Paroi hari ini.  - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan MyKomuter50 pada Program Yakin MADANI di Kompleks Belia dan Sukan Paroi hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Kerajaan akan meneruskan semua program dan projek pembangunan di Negeri Sembilan walaupun berdepan ketidaktentuan politik.
  • Perdana Menteri mengarahkan kementerian agar tidak menangguhkan pelaksanaan projek yang telah diluluskan, termasuk projek infrastruktur dan perumahan mampu milik.
  • Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan rakyat tidak boleh dikorbankan dan menyeru kerjasama semua pihak dalam melaksanakan dasar pembangunan negara.
Advertisement

SEREMBAN: Kerajaan akan meneruskan program dan projek pembangunan yang dirancang di Negeri Sembilan bagi memastikan kepentingan rakyat tidak terjejas, meskipun negeri itu berdepan ketidaktentuan politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengarahkan kementerian berkaitan supaya tidak menangguhkan pelaksanaan projek yang telah dipersetujui dan diluluskan sebelum ini.

“Untuk Negeri Sembilan ini seperti kita tahu laluan Seremban-Kuala Pilah dengan peruntukan setakat ini RM180 juta yang lama diluluskan, dan kita minta disegerakan untuk disempurnakan dengan memberikan kemudahan kepada rakyat. 

Advertisement

“Projek perumahan mampu milik kita teruskan dengan tambahan RM12 juta selain program Pesona Negeri Sembilan. Selain itu, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) termasuk empat projek baharu di Negeri Sembilan, iaitu RTB di Sungai Linggi, Sungai Gemencheh, Sungai Jimah Fasa Dua dan Sungai Si Rusa, Port Dickson,” kata beliau di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Yakin MADANI yang bertemakan “Memaknai Harapan Rakyat” di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini, yang turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk Seri Dr Awaludin Said.

Advertisement

Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan bahawa perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penyebab program pembangunan dan kebajikan rakyat terhenti.

“Sebab itu, saya telah beritahu kementerian dan kerajaan negeri supaya jangan menangguhkan program ini (Yakin MADANI) kerana apa pun pertentangan, ia tidak boleh mengorbankan kepentingan rakyat dan sebagainya,” kata beliau.

Anwar turut mengingatkan semua pihak bahawa tanggungjawab membangunkan negara dan menjaga kepentingan rakyat bukan hanya terletak pada bahu pemimpin politik semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama daripada seluruh lapisan masyarakat.

Beliau berkata setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dengan penuh amanah bagi memastikan segala dasar dan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement