Ringkasan AI
- Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang tanpa bertanding di 29 daripada 82 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13.
- Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan kemenangan ini membawa tanggungjawab besar untuk memenuhi harapan rakyat Sarawak.
- Seramai 632,149 pengundi atau 30.71 peratus pengundi berdaftar tidak perlu keluar mengundi di kawasan menang tanpa bertanding.
GEDONG: Kemenangan tanpa bertanding Gabungan Parti Sarawak (GPS) di 29 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 disifatkan sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu digalas gabungan itu dalam memenuhi harapan rakyat.
Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keyakinan yang diberikan rakyat menerusi kemenangan berkenaan menuntut komitmen lebih tinggi daripada semua wakil rakyat untuk terus bekerja keras.
Menurutnya, mandat tersebut perlu diterjemahkan menerusi usaha berterusan membangunkan Sarawak secara adil dan menyeluruh tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama.
“Apabila 29 kerusi kita menang tanpa bertanding. Ini adalah tanda-tanda rakyat hendakkan kestabilan.
“Ini adalah satu tanggungjawab yang berat kepada yang menang itu kerana rakyat yakin dengan kita (dan) terpaksa kerja kuat kerana keyakinan sudah ada.
“Terpulang pada kita pula membalas balik harapan rakyat. Insya-Allah di bawah pimpinan saya, saya akan teruskan usaha untuk membangunkan negeri Sarawak,” katanya.
Abang Jo berkata demikian dalam ucapannya sempena Perasmian Program LCDA Berambeh ke Gedong Sempena Ulang Tahun ke-45 LCDA, di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, prinsip keadilan dalam pembangunan turut merangkumi usaha membantu serta menyokong kepentingan pelbagai agama yang dianuti masyarakat di Sarawak.
“Keduanya pembangunan mesti adil kepada semua masyarakat. Tidak kira latar belakang kaum dan juga latar belakang agama.
“Kita membantu agama-agama yang ada di Sarawak selain daripada agama Islam. Jadi tuan-tuan inilah budaya kita. Alhamdulillah budaya hari ini dicerminkan apabila kebanyakan (DUN) GPS lah yang menang tanpa bertanding ini,” ujarnya lagi.
Pada Sabtu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata sebanyak 29 daripada 82 kerusi DUN Sarawak menyaksikan kemenangan tanpa bertanding pada PRN Sarawak ke-13 selepas hanya satu calon mengemukakan kertas penamaan di kawasan berkenaan.
Susulan itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di 29 kawasan berkenaan telah mengisytiharkan calon yang dinamakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak Ke-13 tanpa perlu bertanding.
Ujarnha, berdasarkan perkiraan SPR, seramai 632,149 pengundi atau 30.71 peratus daripada keseluruhan 2.058 juta pengundi berdaftar di Sarawak tidak perlu keluar mengundi pada hari pengundian, 12 Disember ini.
Antara kawasan yang mencatatkan kemenangan tanpa bertanding termasuk Tanjung Datu, Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Asajaya, Muara Tuang, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong, Sebuyau, Lingga, Beting Maro, Engkilili dan Saribas.