Skip to main content

Malaysia

Tunku Azizah bakal lanjut PhD, kongsi pengalaman Sarjana dan kajian Hukum Kanun Pahang

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bakal melanjutkan pengajian PhD selepas anak-anak meningkat dewasa, sambil berkongsi pengalaman menamatkan Sarjana di UIAM dan kajian Hukum Kanun Pahang. - Gambar fail/Bernama
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bakal melanjutkan pengajian PhD selepas anak-anak meningkat dewasa, sambil berkongsi pengalaman menamatkan Sarjana di UIAM dan kajian Hukum Kanun Pahang. - Gambar fail/Bernama

Ringkasan AI

  • Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, merancang melanjutkan pengajian ke peringkat PhD selepas urusan keluarga lebih teratur.
  • Baginda akan dibimbing oleh penyelia antarabangsa termasuk Anthony Milner, pakar dari Amerika Syarikat dan Farish Noor bagi memastikan penyelidikan berjalan lancar.
  • Tunku Azizah turut menemui naskhah Hukum Kanun Pahang bertarikh 1884 yang kini dipelihara di Arkib Negara untuk dibukukan dan dikaji lebih lanjut.
Advertisement

GOMBAK: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, memaklumkan bahawa baginda bakal melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) selepas anak-anak meningkat dewasa dan urusan keluarga lebih teratur.

Baginda yang juga Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bertitah demikian dalam sesi temu bual selepas Istiadat Konvokesyen UIAM ke-42 di Kampus Gombak pada Sabtu, apabila ditanya mengenai perancangan menyambung pengajian selepas menamatkan Sarjana Sastera Pemikiran dan Tamadun Islam.

"Ya, insya-Allah. Saya memang merancang untuk mendaftar pada Februari tetapi sudah mula melangkah sekarang. Ini penyelia saya, dan insya-Allah Anthony Milner, penulis terkenal yang menghasilkan buku-buku berkaitan dunia Melayu, akan menjadi penyelia saya," titah baginda ketika ditemui media pada Sabtu.

Advertisement

Tunku Azizah turut berkongsi bahawa baginda akan dibimbing oleh barisan penyelia termasuk pakar dari Amerika Syarikat dan Farish Noor bagi memastikan penyelidikan tersebut dapat disempurnakan dengan baik.

"Penyelia saya dari Amerika Syarikat dan Farish Noor. Saya mempunyai tiga tokoh terbaik dalam pasukan saya dan saya akan memastikan saya dapat melaksanakannya," tegas baginda dalam sesi temu bual sama.

Advertisement

Pengalaman rakan sekelas dan pembahagian masa

Sementara itu, Tengku Ampuan Pahang berkata bahawa apabila kembali menuntut ilmu pada usia lebih matang, tumpuan diberikan selepas melalui fasa perkahwinan, penjagaan anak serta urusan persekolahan apabila anak-anak sudah besar.

"Sebenarnya, apabila belajar ini, saya berfikir dulu masa muda kita berkahwin, kita mahu menjaga anak, menghantar anak ke sekolah, dan apabila anak-anak sudah besar, giliran emak pula," jelas baginda ketika mengulas perjalanan pengajiannya.

Baginda turut menjelaskan bahawa meskipun rakan sekelas kebanyakannya jauh lebih muda serta jadual rasmi agak padat termasuk menghadiri persidangan antarabangsa, pengurusan masa dan penetapan fokus amat penting untuk menyelesaikan tugasan.

"Saya pernah berada di Kemboja pada Jun lalu menghadiri persidangan dunia Pandu Puteri selama seminggu, saya hanya menghadiri majlis pembukaan dan makan malam, selebihnya saya berada di bilik untuk menyiapkan tugasan, jadi kita perlu tahu di mana untuk memberi tumpuan dan membahagikan masa," ujar baginda.

Kajian manuskrip Hukum Kanun Pahang

Mengulas mengenai kajian tesis Sarjana berkaitan Hukum Kanun Pahang, Tunku Azizah berkongsi penemuan naskhah yang ditemui di Pahang serta perbandingannya dengan evolusi undang-undang Islam.

"Hukum Kanun Pahang pada kita ada tiga naskhah, iaitu D, E dan F, dan naskhah F yang kami temui tahun lalu dan diketahui pada tahun ini ditulis pada 1884 pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah," kata baginda ketika menjelaskan mengenai manuskrip tersebut.

Tunku Azizah turut menekankan bahawa manuskrip asal berkenaan kini berada di Arkib Negara untuk dipelihara dan dibukukan, sekali gus membuktikan sistem pemerintahan dan pentadbiran Islam di Pahang telah lama wujud sebelum kedatangan penjajah.

"Kini ia berada di Arkib Negara untuk dipelihara dan dibukukan, dan itu akan menjadi satu penemuan besar kerana kita belum mengetahui sepenuhnya apa yang tertulis dalam naskhah tersebut," tegas baginda mengakhiri perkongsian.

 

Must Watch Video

Advertisement