BUSINESS
LTAT akan kurangkan pegangan aset strategik kepada 35 peratus di bawah Projek Bumi

Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi bercakap ketika sidang media selepas Majlis Pengumuman Pengagihan Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2024 hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merancang untuk mengurangkan pegangan aset strategik daripada 56 peratus kepada 35 peratus di bawah 'Projek Bumi' dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk menurunkan pendedahan di samping mengekalkan kawalan.
Ringkasan AI
- LTAT merancang untuk mengurangkan pegangan aset strategik daripada 56% kepada 35% dalam tempoh tiga tahun di bawah 'Projek Bumi' untuk menurunkan pendedahan sambil mengekalkan kawalan.
- Projek Bumi bertujuan mengoptimumkan strategi pelaburan LTAT dengan melabur semula dalam kelas aset lain yang kurang dipegang, selain aset strategik seperti Boustead Holdings, Pharmaniaga, dan Affin Bank.
- Tiga objektif utama Projek Bumi adalah meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti, memastikan anak syarikat kekal berdaya saing, dan menstrukturkan pegangan saham secara optimum.
Beliau berkata aset strategik LTAT termasuk anak syarikat milik penuhnya, Boustead Holdings Bhd, 54.9 peratus kepentingan dalam Pharmaniaga Bhd, dan 22 peratus kepentingan dalam Affin Bank Bhd.
Selain aset strategik, portfolio LTAT termasuk hartanah (11.8 peratus), ekuiti awam (9.4 peratus), pendapatan tetap (9.3 peratus), ekuiti persendirian (7.8 peratus), seta instrumen tunai dan pasaran wang (5.8 peratus).
Tahun lepas, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyarankan LTAT supaya mempelbagaikan pelaburannya berbanding menumpukan pada Boustead Holdings Bhd.
Projek Bumi bertujuan mengoptimumkan strategi pelaburan LTAT di samping merangsang pertumbuhan jangka masa panjang syarikat utama.
Inisiatif itu mengambil kira keperluan untuk menggalakkan perniagaan yang mempunyai prospek pertumbuhan yang cerah dan faedah jangka masa panjang.
Mohammad Ashraf berkata projek itu telah dibentangkan kepada Kabinet pada 13 Dis, 2024.
"Tiga objektif itu adalah meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti, memastikan setiap anak syarikat kekal berdaya saing dalam industri masing-masing, dan menstrukturkan setiap syarikat operasi di bawah pegangan saham paling optimum.
"Pelan strategik terlaras di bawah Projek Bumi ini menumpukan kepada tiga objektif ini sebagai prinsip panduan. Kami kekal konsisten dalam matlamat kami untuk mengurangkan tahap pendedahan di samping mewujudkan jurang positif antara kos pelaburan lembaran imbangan dan nilai sebenar pegangan kami," katanya.
Memandangkan Malaysia sebagai pengerusia ASEAN 2025, LTAT menyasar untuk mengukuhkan kerjasama dalam kalangan negara anggota dengan memanfaatkan peranan kepimpinan Malaysia untuk memupuk kerjasama ekonomi, sejajar dengan strategi LTAT yang lebih luas untuk menyeimbangkan keutamaan domestik dan pada masa sama memanfaatkan sinergi serantau.
"Dalam pertanian, sebagai contohnya, kami mempunyai anak syarikat milik majoriti yang beroperasi di Indonesia menjalankan perniagaan yang serupa.
"Bagaimanapun, pelanggan mereka kebanyakannya terdiri daripada syarikat sektor swasta berbanding sektor kerajaan. Apabila boleh laksana, kami menyasar untuk mencontohi strategi pasaran domestik kami di Indonesia," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami