BISNES
MAG sasar pertumbuhan digital, katering mega menjelang 2029

Menurut Nasarudin (gambar), inisiatif digital kekal menjadi tumpuan utama MAG sehingga tahun 2030. - Foto Malaysia Aviation Group
KUALA LUMPUR: Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) terus memperkukuh kedudukan sebagai pemain utama industri penerbangan serantau dengan strategi transformasi digital dan rancangan pembangunan kemudahan katering mega menjelang 2029.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines, Kapten Nasarudin A Bakar, pelaburan dalam teknologi bersama rakan strategik digital antarabangsa seperti Google dan Skyscanner menjadi teras kepada strategi kumpulan.
Kerjasama ini diyakini mampu memperluaskan capaian pelanggan global serta meningkatkan pendapatan syarikat.
Nasarudin menjelaskan, inisiatif digital kekal menjadi tumpuan utama MAG sehingga tahun 2030.“Walaupun syarikat belum menetapkan syarikat rakan kongsi tambahan dalam bidang AI, fintech atau ekosistem kesetiaan pelanggan, hala tuju tersebut sedang bergerak dinamik seiring keperluan pasaran,” kata beliau.
Selain itu, MAG turut merancang membangunkan kompleks katering baharu yang dijangka siap pada tahun 2029.
Kemudahan tersebut bakal menjadi antara yang terbesar di Asia, dengan kapasiti pengeluaran 50,000 hidangan sehari, iaitu hampir dua kali ganda daripada keupayaan semasa 26,000 hidangan .
Kompleks ini akan menyokong sepenuhnya operasi rangkaian Malaysia Airlines serta menyediakan lebihan kapasiti untuk syarikat penerbangan lain.
Projek ini dijangka diumumkan secara rasmi selepas mendapat kelulusan pengawal selia, sekitar tahun 2026.
Selepas berakhirnya kerjasama panjang dengan Brahim’s tahun lalu, MAG mengambil masa hanya sebulan untuk menyusun semula operasi katering.
“Dalam tempoh sebulan, kami berjaya memulihkan operasi sepenuhnya. Prestasi tepat masa (on-time performance) kekal 100% hampir sepanjang masa, kecuali ketika musim hujan. Alhamdulillah, hasilnya sangat memberangsangkan
“Syarikat turut membuat pelaburan dalam trak pengangkat khas dan kelengkapan baharu," tambahnya.
Dengan strategi digital, peluasan katering mega dan rekod pemulihan operasi yang pantas, MAG yakin berada di landasan kukuh untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan daya saing menjelang 2030.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami