KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Selasa menolak permohonan Serba Dinamik Holdings Bhd untuk memasukkan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebagai pihak-pihak dalam tindakan undang-undangnya terhadap firma audit Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (E&Y).

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menerusi prosiding dalam talian.

Beliau juga menetapkan 16 Februari ini untuk pendengaran injunksi interim SDHB bagi menghalang E&Y daripada mengeluarkan Kemas Kini Dapatan Berdasarkan Fakta (FFU) mengenai syarikat itu.

Peguam Christopher Leong, yang menjalankan arahan memerhati bagi pihak SC mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media, lapor Bernama.

Pada 6 Dis tahun lepas, Serba Dinamik yang merupakan syarikat minyak dan gas memfailkan permohonan untuk memasukkan Bursa dan SC di dalam saman pemulanya dengan alasan kehadiran SC dan Bursa diperlukan di hadapan mahkamah untuk menentukan maksud perkataan “auditor”.

Serba Dinamik berkata menurut hujahan bertulis difailkan defendan (E&Y) berhubung saman pemula itu bahawa terma “auditor” tidak diperlukan bermaksud seseorang yang berdaftar dengan Lembaga Pemantauan Audit di bawah bidang kuasa SC dan terma “auditor” didefinisikan dalam Bab 1 Kehendak-Kehendak Penyenaraian Pasaran Utama  (MMLR), satu set peraturan yang dikeluarkan Bursa dan diluluskan SC.

Pada 5 Nov lepas, Serba Dinamik memfailkan saman bagi mendapatkan relif dan satu deklarasi bahawa E&Y bukannya “Auditor” dalam takrifan MMLR selain deklarasi bahawa E&Y telah melakukan salah nyata kepada Serba Dinamik bahawa mereka boleh dilantik menurut perenggan 2.23 dan 2.24 MMLR.

Serba Dinamik juga memohon satu perintah bahawa E&Y sama ada menerusi pekerja, ejen atau wakilnya dilarang daripada mengeluarkan, mendedahkan dan/atau menyebarkan sebarang dapatan, laporan, memorandum, pandangan terhadap SDHB dan kumpulan syarikatnya sama ada secara keseluruhan atau dalam bahagianbahagian kepada sesiapa pun dalam mana-mana format sama ada secara percetakan, elektronik atau menerusi sebarang media atau forum. -DagangNews.com