KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines bakal kembali menghubungkan Kuala Lumpur ke Busan, Korea Selatan bermula 2 Disember ini, selepas hampir tiga dekad tidak mengendalikan laluan berkenaan.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A. Bakar, berkata kumpulan itu terus mengembangkan rangkaiannya secara strategik dengan memberi tumpuan kepada pasaran yang mempunyai permintaan.
“Kami terus berkembang dengan tujuan, mengukuhkan rangkaian di kawasan yang mempunyai permintaan, menghubungkan semula pasaran sedia ada dan berkembang ke pasaran baharu, di samping melabur dalam keupayaan yang menyokong syarikat penerbangan serta pelanggan kami,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Penyambungan semula laluan berkenaan melengkapkan perkhidmatan sedia ada Malaysia Airlines ke Seoul, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang yang berkunjung ke Korea Selatan.
“Malaysia Airlines akan mengendalikan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Busan, Korea Selatan sebanyak empat kali seminggu iaitu pada Selasa, Rabu, Sabtu dan Ahad.
"Penerbangan sulung dijadualkan berlepas pada 1.45 pagi dan tiba di Busan pada 9.20 pagi pada 2 Disember 2026.
"Bagi penerbangan pada Sabtu, 5 Disember 2026, pesawat dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur pada 11 pagi dan tiba di Busan pada 6.35 petang,” katanya lagi.
Malaysia Airlines sebelum ini pernah mengendalikan laluan Kuala Lumpur-Busan antara 1996 hingga 1998.
Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi syarikat penerbangan di bawah MAG, Firefly, bakal memperluas rangkaian antarabangsanya ke China menerusi pelancaran penerbangan terus ke Kunming (KMG).
Perkhidmatan itu akan dikendalikan menggunakan pesawat Boeing 737-800 dan melengkapkan kehadiran lebih luas Malaysia Airlines di pasaran China.