Syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) mengumumkan kerjasama dengan kelab gergasi bola sepak Inggeris Liverpool FC.

Melalui kerjasama tersebut, Malaysia Airlines akan dikenali sebagai Rakan Penerbangan Global Rasmi Liverpool FC untuk tempoh tiga tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAB Peter Bellew, kerjasama strategik ini akan mengukuhkan kedudukan jenama Malaysia Airlines melalui pendedahan jenama pada papan statik, skrin LED di setiap perlawanan di Stadium Anfield serta promosi di laman web rasmi, penerbitan, media sosial serta barangan rasmi keluaran Liverpool.

Selain peluang penjenamaan, syarikat penerbangan itu juga mempunyai akses kepada pemain Liverpool untuk digunakan sebagai duta Malaysia Airlines.

"MAB memperuntuk kurang daripada 10 peratus daripada bajet pengiklanan dan promosi kami khusus untuk kerjasama ini," kata Bellew semasa majlis pengumuman kerjasama Malaysia Airlines-Liverpool FC, di sini, pada Selasa.

Sempena kerjasama tersebut, Malaysia Airlines akan menawarkan tambang promosi dua hala bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke London pada RM2,499.

Tempoh promosi bermula 11 Oktober hingga 17 Oktober 2016 untuk penerbangan dari 13 Oktober 2016 hingga 31 Mac 2017.