BRUSSELS: Dua orang maut selepas Ribut Boelo membadai beberapa kawasan di United Kingdom (UK), membawa angin kencang, hujan lebat dan banjir, selain menyebabkan kira-kira 90,000 pengguna terputus bekalan elektrik pada petang Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Seorang lelaki berusia 60 tahun maut selepas dihempap pokok tumbang berhampiran Castle Douglas di Dumfries, Scotland, manakala seorang lelaki berusia lingkungan 20-an maut apabila sebatang pokok tumbang menghempap keretanya di utara London, lapor Sky News yang memetik pihak berkuasa.
Dua wanita turut dimasukkan ke hospital selepas dihempap pokok tumbang, menurut laporan itu.
Scotland, beberapa kawasan di Ireland Utara dan utara England menerima kesan paling teruk akibat ribut berkenaan yang membawa angin berkelajuan sehingga 135 kilometer sejam serta menyebabkan gangguan meluas sepanjang hujung minggu.
Menurut Persatuan Rangkaian Tenaga, kira-kira 90,000 pengguna masih terputus bekalan elektrik setakat 7 malam waktu tempatan (1800 GMT) Ahad.
Beberapa kawasan di Scotland merekodkan jumlah hujan sepanjang hujung minggu bersamaan kira-kira satu pertiga daripada purata hujan bulanan.
Pejabat Meteorologi UK memberi amaran mengenai keadaan cuaca tidak menentu yang berterusan pada awal minggu ini, dengan cuaca dijangka bertambah baik pada Isnin sebelum satu lagi sistem cuaca membawa hujan lebat dan angin kencang pada Selasa.
Amaran cuaca kuning bagi angin kencang dikeluarkan untuk beberapa kawasan di utara England, Scotland dan timur laut Ireland Utara, berkuat kuasa mulai 3 pagi Selasa hingga tengah malam.
Sementara itu, kebimbangan terhadap banjir masih berterusan di seluruh UK, dengan pihak berkuasa mengeluarkan beberapa amaran dan makluman berjaga-jaga.
Agensi Alam Sekitar mengeluarkan 10 amaran banjir dan 65 makluman berjaga-jaga terhadap banjir di England, manakala Agensi Perlindungan Alam Sekitar Scotland melaporkan 10 amaran dan 11 makluman berjaga-jaga.
Natural Resources Wales pula memaklumkan bahawa sembilan makluman berjaga-jaga terhadap banjir masih berkuat kuasa.
Perkhidmatan pengangkutan turut mengalami gangguan teruk, khususnya rangkaian kereta api di Scotland.
Beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Leeds Bradford terpaksa dilencongkan atau dibatalkan, manakala pokok tumbang, kerosakan permukaan jalan dan kabel yang jatuh di atas jalan raya menyebabkan beberapa jalan utama di Scotland ditutup.
-- BERNAMA-ANADOLU