Skip to main content
Advertisement

Malaysia

KPKM gerak langkah kesiapsiagaan hadapi Super El Nino - Mohamad Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika menggulung perbahasan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika menggulung perbahasan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggerakkan langkah kesiapsiagaan rentas agensi bagi mendepani fenomena Super El Nino yang sudah mula menunjukkan kesan awalnya di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sektor agromakanan negara kini berdepan cabaran berganda susulan konflik Asia Barat serta ancaman cuaca panas dan kering melampau yang berpotensi menjejaskan kestabilan bekalan makanan ruji.

Beliau berkata antara perkara yang diberi perhatian ialah pemantauan paras air empangan, khususnya di Empangan Ahning di Kedah yang masih berada pada tahap amaran dan waspada, sekali gus memberi risiko kepada kelangsungan aktiviti penanaman padi di kawasan jelapang utama Muda.

“KPKM telah menggerakkan langkah kesiapsiagaan rentas agensi menerusi pendekatan bersepadu dan penggunaan teknologi.

“Hal ini meliputi pelaksanaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM), peluasan Sistem Pemantauan Pengairan Pintar, pengurusan air alternatif untuk penanaman padi, serta penggalakan Pertanian Persekitaran Terkawal (CEA) bagi menjamin keterjaminan air secara mampan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Selain tanaman padi, Mohamad berkata persediaan rapi turut digerakkan bagi sektor perikanan susulan kenaikan suhu laut yang mengubah taburan ikan, menjejaskan kualiti air ternakan serta mengancam ekosistem terumbu.

Beliau berkata pengeluaran perikanan tangkapan dan akuakultur di kawasan terjejas pada tahun ini berpotensi menyusut sebanyak 5,624 tan metrik atau 1.5 peratus.

Bagi menangani cabaran itu, katanya, kementerian mengambil langkah proaktif merangkumi kesediaan teknologi seperti amaran awal cuaca, sistem pengesanan lokasi MyFSI dan Pelan Mitigasi Bencana Akuakultur, selain melaksanakan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Sektor Perikanan 2024-2030.

“Dalam Belanjawan 2027, sebanyak RM125.9 juta sokongan fiskal disediakan merangkumi RM30 juta untuk tambahan 3,000 Lesen Sampan Khas, RM30 juta pembiayaan Agro BioFlok, RM10 juta Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan dan RM2.3 juta bagi inisiatif BioPerikanan dan biosekuriti,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa stok simpanan ikan sejuk beku negara terus dipertingkatkan dan setakat 30 Sept lepas, jumlah stok simpanan terkumpul telah mencecah 10,000 tan metrik bagi mendepani fenomena Super El Nino serta Monsun Timur Laut.

Secara keseluruhan, Mohamad berkata KPKM menerima peruntukan sebanyak RM6.92 bilion dalam Belanjawan 2027, merangkumi RM4.85 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM2.07 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement