Ringkasan AI
- Malaysia akan menerima dua pesawat tempur ringan FA-50M Block 20 dari Korea Selatan pada Jumaat ini sebagai sebahagian perolehan 18 pesawat bernilai hampir RM4 bilion.
- Pesawat FA-50M akan memperkukuh keupayaan tempur udara Angkatan Tentera Malaysia dan akan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan serta Labuan.
- Kontrak perolehan 18 pesawat FA-50M dimeterai antara Kementerian Pertahanan dan Korea Aerospace Industries pada Mei 2023.
KUALA LUMPUR: Malaysia dijadual menerima dua pesawat tempur ringan FA-50M Block 20 buatan Korea Selatan pada Jumaat ini, sebagai sebahagian daripada perolehan 18 pesawat berkenaan bernilai hampir RM4 bilion.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penerimaan pesawat itu akan memperkukuh keupayaan tempur udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“… perolehan 18 pesawat FA-50M dari Korea Selatan yang akan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan, dengan sebahagiannya turut dirancang ditugaskan di Pangkalan Udara Labuan bagi memperkukuh keupayaan tempur udara.
“… dan di sini, sukacita saya berkongsi bahawa Malaysia akan menerima dua pesawat FA-50M pertama pada akhir bulan ini, 30 Okt 2026,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Pada Mei 2023, Kementerian Pertahanan dan syarikat aeroangkasa Korea Aerospace Industries (KAI) memeterai kontrak bernilai hampir RM4 bilion bagi perolehan 18 pesawat tempur ringan FA-50 Block 20, yang dinamakan khusus sebagai FA-50M (Malaysia).
-- BERNAMA